Henti Provokasi Siapa Calon PM Ketika PAT, Kata Ketua Bahagian Bersatu

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 25 – Pemimpin dan akar umbi Bersatu diingatkan untuk tidak meneruskan provokasi membabitkan calon perdana menteri dari Perikatan Nasional (PN) ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti, hujung minggu hadapan, kata seorang ketua bahagiannya.

Ketua Bahagian Bersatu Ampang Mohd Isa Saidi berkata, mana-mana pihak juga tidak wajar terus membangkitkan persoalan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar kekal sebagai presiden dan juga calon perdana menteri gabungan.

“PAS sebagai teras penting PN sudah beberapa kali memberi indikasi bahawa mereka tidak menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

“Adalah tidak wajar orang Bersatu ‘provoke’ PAS dalam isu ini melalui sebarang usul dalam PAT minggu depan,” katanya, kepada politiko.my.

Isa menegaskan, kedudukan parti harus diberikan keutamaan berbanding  peribadi pemimpin.

“Apa guna jika kita namakan sorang tokoh tapi akibatnya PAS tidak bersetuju dengan kita?

“Parti ini lebih besar dari mana-mana individu  walaupun kita tidak nafikan jasa mereka,” katanya lagi.

Tegasnya, hanya  pimpinan PN sahaja yang berkuasa menentukan calon perdana menteri dari PN.

Selain itu, Muhyiddin juga katanya sudah memberi bayangan akan berundur dan menamakan barisan kepimpinan pelapis dengan meletakkan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya, ketika PAT sebelum ini.

“Sedangkan Muhyiddin sudah pun memutuskan penggantinya, iaitu timbalan presiden yang akan mengambil alih kepimpinan dengan persetujuan semua bahagian.

“Jadi jangan jadi batu api dengan membawa usul berkepentingan peribadi yang menyamar sebagai mempertahan institusi presiden,” tegasnya.

Isa juga tidak menolak cadangan berkaitan perkara itu akan muncul ketika PAT demi kepentingan individu tertentu

“Cadangan sedemikian tidak wajar kerana ia hanya muncul daripada kelompok tertentu yang mempunyai cita-cita politik peribadi dengan menjadikan Muhyiddin sebagai ‘talian hayat’ mereka.

“Ada kumpulan tertentu yang cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan sokongan perwakilan untuk mengekalkan beliau, walaupun Muhyiddin sendiri merasakan perlu berehat,” dakwanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share