
KUALA LUMPUR, 10 Ogos 25 – MIC Kedah dilaporkan telah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan keluar daripada Barisan Nasional (BN), lapor akhbar China Press.
Pengerusi MIC Kedah, SK Suresh bagaimanapun berkata, keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
Jawatankuasa kerja pusat MIC katanya juga tidak pernah membincangkan soal keluar BN atau bekerjasama dengan PN.
Bagaimanapun, perwakilan MIC Kedah membangkitkan perkara itu dan mengejutkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, yang turut hadir pada mesyuarat agung tahunan peringkat negeri semalam.
“Kami telah menyampaikan usul ini kepada presiden, tetapi keputusan akhir akan dibuat oleh kepimpinan parti,” kata Suresh.
Rakyat Kedah, khususnya masyarakat India, mula berasa kecewa dengan kerajaan persekutuan sekarang, malah ada yang menyesal mengundi PH. Sebagai pemimpin tempatan, katanya, mereka perlu bersuara bagi pihak rakyat.
“Kami tidak perlu memaklumkan Umno tentang perkara ini, kerana ketika Umno bekerjasama dengan PAS dahulu, mereka pun tidak memberitahu kami. Sekarang kami mahu bekerjasama dengan PN, ini keputusan kami sendiri,” tegasnya.
MIC juga katanya tidak boleh terus berdiam diri terhadap dakwaan pengabaian hak masyarakat India — termasuk isu pendidikan, kuil Hindu, dan pelbagai perkara lain — sejak penubuhan kerajaan perpaduan.
Dia juga menegaskan bahawa jika tindakan mempertahankan hak masyarakat India bermakna MIC perlu keluar BN, mereka bersedia melakukannya, namun keputusan itu tetap perlu datang daripada kepimpinan pusat. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.