
KUALA LUMPUR, 9 Sep 25 – Peningkatan penggunaan akaun profil dengan akses dikunci menunjukkan seolah-olah pengguna media sosial berada terancam dengan arahan melibatkan bangsa, agama, dan raja atau 3R, kata wartawan veteran.
Datuk A Kadir Jasin mendakwa, aliran itu selari dengan tindakan pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap pengguna media sosial dan dituduh di mahkamah atas hantaran mereka.
“Saya perhatikan aliran ke arah mengunci profil ini meningkat sealiran dengan kerancakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan reman pengguna media sosial, merampas peralatan dan mendakwa sesetengah mereka di mahkamah.
“Namun sesetengah mereka amat wajar dikenakan tindakan,” kata Kadir, dalam hantaran Facebook.
Malah, tindakan kumpulan ahli politik dan aktivis yang menggunakan saman turut menakutkan pengguna media sosial, dakwanya.
“Saya rasa pengguna media sosial juga berasa tersekat dan terancam dengan arahan berkaitan 3R (Race, Religion, Royalty) – Bangsa, Agama, Raja (BAR).
“Selain itu, ahli politik, dengan bantuan konco-konco dan kartel mereka, juga semakin galak menggunakan saman sivil bagi menakut-nakutkan pengguna media sosial,” kata Kadir dalam hantaran tersebut.
Wartawan juga katanya turut terkesan dengan tindakan seperti itu dan membiarkan perbahasan berlarutan di media sosial.
“Malah wartawan media arus perdana pun nampak teragak-agak melaporkan maklumat yang dianggap sensitif atau tidak memihak kepada pihak berkuasa.
“Mereka lebih rela membiarkan media sosial mendahului seolah-olah menumpang berani dari netizen,” kata Kadir lagi.
Namun, sesetengah pengguna media sosial katanya wajar diberi pengajaran apabila mengeluarkan hantaran yang tidak bertanggungjawab.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, pengguna yang mengunci profile mereka bukan saja tidak gentleman tetapi bersikap baling batu sembunyi tangan.
“Netizen jenis ini pun wajar dikenakan tindakan tegas jika menyiarkan bahan yang ‘offensive’.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.