
KUALA LUMPUR, 14 Sep 25 — Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan matapelajaran bahasa Cina dan Tamil diajar di sekolah kebangsaan sebagai langkah untuk memupuk perpaduan nasional dan menghapuskan rasa curiga antara kaum.
Katanya, pembelajaran dua bahasa itu membolehkan rakyat Malaysia memahami bahasa dan budaya antara satu sama lain, seterusnya mengukuhkan hubungan kaum.
“Boleh tak kalau kita kenalkan mata pelajaran bahasa Tamil dan bahasa Cina di sekolah kebangsaan?
“Anak-anak dari semua kaum boleh belajar dan mereka boleh faham antara satu sama lain,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat Malaysia (DHPP), di Sungai Petani, Kedah.
PAS katanya perlu tampil sebagai parti yang menyelesaikan masalah bukan setakat membangkitkan permasalahan.
“Kita mesti tampil sebagai parti yang menyelesaikan masalah, bukan sekadar membangkitkan masalah. Semua pihak tahu masalahnya, tetapi apa penyelesaiannya?
“Jadi, kalau kita boleh tangani setiap permasalahan yang berlaku dan tunjukkan mekanisme untuk menyelesaikannya… Seperti yang saya sebut tadi, soal perpaduan. Kenapa timbul sensitiviti antara kita?,” katanya.
Melalui pembelajaran bahasa tersebut, Tuan Ibrahim tidak menolak rasa curiga antara kaum dapat diatasi.
“Sebabnya ialah kita curiga-mencurigai antara satu sama lain. Halangan bahasa adalah salah satu puncanya. Orang Melayu, bila orang Cina bercakap dalam bahasa mereka, dia tidak faham. Dia mungkin rasa curiga, walaupun sebenarnya mereka tidak bercakap apa-apa yang negatif.
“Begitu juga, bila orang India bercakap dengan orang India, orang Melayu mungkin tidak faham dan rasa curiga,” katanya lagi.
Cadangan itu bagaimanapun menerima kritikan wakil rakyat DAP dengan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyarankan Pasti memulakan mengajar subjek matapelajaran dua bahasa tersebut.
“Jangan hanya pandai berucap di pentas, tetapi gagal mengamalkan di gelanggang sendiri,” kata Lim dalam kenyataan.
Lebih mengejutkan, kata Lim, Tuan Ibrahim seolah-olah tidak tahu bahawa Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sudah lama ditawarkan sebagai mata pelajaran tambahan di sekolah kebangsaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.