Pelajari Perlembagaan, Hormati Sejarah

Setiap negara di dunia ini terbina atas sejarahnya yang tersendiri. Ada yang berusia ratusan tahun, malah ada yang ribuan tahun.

Lazimnya, sesebuah negara ditadbir oleh bangsa asalnya sendiri, yang secara tidak langsung juga berkait rapat dengan anutan agama masyarakat majoriti. Di Eropah, sebagai contoh, kebanyakan negara diperintah oleh bangsa kulit putih dan beragama Kristian.

Walaupun ada yang mengaku liberal dan sekular, pengaruh agama tetap kuat dan ketara dalam dasar serta budaya mereka.

Di Asia Barat dan Asia Tengah pula, negara-negara majoritinya diperintah oleh bangsa Arab dan Islam. Di India, oleh bangsa India. Di China, oleh bangsa Cina. Tidak mungkin bangsa luar seperti Melayu menjadi pemerintah di India, atau orang Filipina menjadi Presiden di China.

Prinsip ini mudah: bangsa majoriti tidak akan rela diperintah oleh bangsa lain, jika keadaan demikian berlaku. Tiada keamanan di negara itu, ketidak puasan hati dan pemberontakan pasti berlaku.

Sejarah rejim apartheid di Afrika Selatan membuktikan perkara ini. Pemerintahan minoriti kulit putih tidak pernah aman daripada pemberontakan rakyat majoriti yang berkulit hitam.

Akhirnya, rejim itu tumbang setelah berdekad lamanya ditekan oleh suara rakyat dan dunia. Kuasa dan kekuasaan mesti seiring dengan hak dan keadilan kepada bangsa yang membentuk identiti sesebuah negara.

Inilah pelajaran daripada sejarah – setiap negara yang ditubuhkan akan menggubal undang-undang dan perlembagaan bagi melindungi identiti serta masa depan bangsa asalnya. Begitu jugalah dengan negara kita, Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara digubal ketika negara mencapai kemerdekaan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Pemimpin ketika itu—yang terdiri daripada pelbagai bangsa, samada Cina, India dan yang lain-lain—bersetuju bahawa perlu ada peruntukan khas bagi melindungi bangsa asal, iaitu Melayu dan Bumiputera, serta meletakkan Agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Kedudukan ini bukanlah hasil perbalahan atau paksaan, tetapi di cetuskan dari hasil rundingan dan persetujuan antara semua kaum. Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita semua—tanpa mengira bangsa atau agama—harus menerima dan menghormati Perlembagaan ini.

Dalam dunia moden, tidak ada sesiapa yang bebas daripada undang-undang. Di mana-mana negara pun, rakyatnya terikat dengan perlembagaan dan peraturan yang mengatur kehidupan bernegara.

Undang-undang bukan untuk menindas, tetapi untuk menjamin keadilan, keharmonian, dan kestabilan negara. Inilah asas negara bangsa yang bertamadun dan berdaulat.

Apabila kita bercakap tentang keadilan, ia mesti difahami dalam konteks sejarah dan realiti sesuatu bangsa.

Perlembagaan Persekutuan digubal bukan sahaja untuk keadilan kepada kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi juga kepada kaum lain yang memilih untuk kekal di negara ini sebagai warganegara selepas merdeka.

Mereka diberikan kerakyatan, hak bersuara, perlindungan undang-undang, dan jaminan keselamatan

Namun, kita tidak boleh melupakan fakta sejarah: penjajah British mewujudkan jurang sosioekonomi antara kaum.

Orang Melayu dipinggirkan dari sektor ekonomi moden, dikekalkan sebagai petani dan nelayan di kampung, manakala masyarakat Cina diberi ruang berniaga dan menguasai bandar-bandar serta ekonomi. Rangkaian bekalan, pembiayaan, dan perniagaan dikuasai oleh satu kaum—tanpa keterbukaan untuk dikongsi.

Oleh sebab itulah, para pemimpin Melayu yang berwawasan jauh ketika itu memasukkan Artikel 153 ke dalam Perlembagaan bagi menjamin satu bentuk perlindungan dan keadilan untuk bangsa Melayu dan Bumiputera.

Ada pihak hari ini yang lantang memperjuangkan “hak sama rata” dengan menuntut agar peruntukan khas orang Melayu dimansuhkan. Persoalannya: adakah kita benar-benar berada dalam kedudukan yang sama rata?

Jawapannya harus jujur dan telus. Adakah korporat dan konglomerat Cina hari ini sudah membuka peluang perniagaan dan rantaian bekalan seperti pembinaan, pembekalan, dan kewangan secara adil dan meluas kepada usahawan Melayu? Jika tidak, maka Artikel 153 masih relevan dan perlu dipertahankan.

Kita tidak menolak kesamarataan, tetapi kesamarataan tidak bermakna melupakan sejarah. Kita tidak boleh menyamakan semua pihak pada garis mula yang tidak sama.

Perlindungan dalam bentuk dasar dan perlembagaan diperlukan untuk memastikan semua kaum bergerak ke hadapan bersama—bukan dengan satu kaum terus mendominasi, manakala satu kaum lain kekal di pinggiran.

Dan selagi mana ketidakseimbangan ini wujud dalam pelbagai sektor, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan hak dan ruang bangsa kita dengan berhemah, bukan dengan emosi tetapi dengan kefahaman yang mendalam tentang sejarah dan realiti semasa.

Perlembagaan bukan sekadar dokumen perundangan; ia adalah warisan sejarah, hasil rundingan, dan simbol kesepakatan nasional. Sekiranya kita ingin mengekalkan keharmonian, kestabilan, dan masa depan yang lebih baik, maka kita mesti mempertahankan semangat Perlembagaan Persekutuan ini.

Terutamanya kepada generasi muda—belajarlah, fahamilah, dan hayatilah perlembagaan ini. Jangan mudah terpengaruh dengan slogan yang kelihatan ideal tetapi tidak berpijak di bumi nyata.

Hormatilah sejarah, pertahankan maruah bangsa, dan jangan biarkan pengorbanan datuk nenek kita menjadi sia-sia.

Azman Mohd Hashim – Penulis Bebas Yang Bersemangat Nasionalisme

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share