
KUALA LUMPUR | 7 Apr 26 — Pandangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai keperluan memperkukuh peranan Melayu sebagai bangsa teras negara disifatkan tepat dan berasas oleh penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali.
Menurut Mazlan, kekuatan Melayu di Malaysia bukan sekadar faktor demografi, tetapi berpaksikan definisi yang jelas dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Katanya, takrif Melayu di negara ini merangkumi elemen agama, bahasa dan adat resam, menjadikan identitinya lebih komprehensif berbanding negara lain.
“Walaupun orang Melayu wujud di seluruh dunia dan jumlahnya ramai di Indonesia, identifikasi Melayu yang paling jelas dan tersusun adalah di Malaysia. Perlembagaan menetapkan Melayu itu mesti beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa di Indonesia, meskipun terdapat komuniti Melayu seperti di Sumatera dan beberapa kepulauan lain, identifikasi tersebut tidak distrukturkan secara perlembagaan seperti di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata perspektif Hamzah yang menegaskan Malaysia sebagai negara majoriti Melayu dan Melayu sebagai bangsa teras adalah selari dengan realiti politik negara. Menurutnya, kestabilan politik Malaysia banyak bergantung kepada kekuatan dan kesepaduan Melayu sebagai tunjang utama.
“Apabila Melayu kuat di Malaysia, barulah Malaysia boleh membantu Melayu di tempat lain,” katanya.
Beliau memberi contoh peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam konflik di Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Aceh. Katanya, penglibatan Malaysia dalam usaha damai di wilayah-wilayah tersebut menunjukkan kedudukan negara ini sebagai rujukan dan pengimbang di rantau ini.
Mazlan berpandangan bahawa memperkukuh Melayu di Malaysia bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya mempunyai dimensi strategik termasuk dari sudut geopolitik dan diplomasi serantau.
Katanya, selagi Melayu menjadi bangsa teras yang stabil dan kukuh di dalam negara, Malaysia akan terus mempunyai legitimasi moral serta politik untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau.
Baru-baru ini, Hamzah dalam ucapan di Pidato Penyatuan Ummah menyebut bahawa sekiranya Melayu di malaysia ini berjaya, mereka akan dapat membantu Melayu di seluruh dunia.
Dalam program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Terengganu baru-baru ini, satu dokumen yang disebut sebagai Deklarasi Alam Melayu telah dikeluarkan, hasil dari perbincangan oleh pelbagai pihak, antara parti politik, pemimpin NGO, ahli akademik serta wakil-wakil dari Indonesia, Thailand dan lain-lain. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.