
KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 — Desakan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden Bersatu dilihat semakin munasabah apabila krisis hubungan parti itu dengan PAS kini berada pada tahap membimbangkan, sekali gus mengancam masa depan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya akan datang.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali, berkata pandangan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang mencadangkan Muhyiddin berundur bukanlah satu cadangan melampau, sebaliknya satu langkah rasional demi menyelamatkan kelangsungan Bersatu dan PN.
Menurut beliau, Muhyiddin telah terlalu lama menerajui Bersatu sejak penubuhannya, namun perkembangan mutakhir menunjukkan wujud masalah serius dalam kepimpinan dan pengurusan hubungan strategik parti, khususnya dengan PAS.
“PAS ialah rakan paling kuat dan paling penting kepada PN. Jika hubungan dengan PAS bermasalah, ini bukan isu kecil. Ia sepatutnya diselesaikan segera, tetapi apa yang kita lihat hari ini keadaan menjadi semakin buruk,” katanya.
Mazlan menegaskan kegagalan menangani ketegangan Bersatu–PAS dengan berkesan membuka ruang kepada kemungkinan perpecahan antara dua parti teras PN itu — satu senario yang boleh membawa padah besar kepada gabungan tersebut.
“Apabila masalah dengan PAS berlarutan, risiko untuk Bersatu dan PAS berpisah itu wujud. Ini akan memberi kesan langsung kepada peluang PN untuk bangkit dan memenangi pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mazlan berpandangan adalah wajar jika Muhyiddin mengambil langkah berjiwa besar dengan melepaskan baton kepimpinan kepada pemimpin baharu demi memastikan Bersatu kekal utuh dan berdaya saing.
Dalam konteks ini, beliau menyebut Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai calon paling realistik untuk menerajui Bersatu, berikutan pengalaman luas serta penerimaan kuat beliau dalam kalangan pimpinan PAS.
“Hamzah bukan sahaja berpengalaman, malah beliau mendapat sokongan penuh daripada PAS. Saya yakin jika Hamzah memimpin Bersatu, hubungan dengan PAS dapat diperbaiki dan diperkukuhkan semula,” katanya.
Mazlan turut mengaitkan keperluan perubahan kepimpinan Bersatu dengan agenda lebih besar PN untuk merampas kembali kedudukan sebagai kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
“Jika PN serius mahu kembali berkuasa, isu kepimpinan dan hubungan antara parti komponen mesti diselesaikan. Pandangan ahli MPT Bersatu itu wajar difikirkan dengan serius oleh Tan Sri Muhyiddin demi masa depan Bersatu dan PN,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.