Petronas, Anak Syarikat Diberi Pengecualian Lesen Operasi Di Sarawak

KUALA LUMPUR, 24 Mei 25 – Petronas dan anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen daripada kerajaan Sarawak untuk beroperasi di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.

Beliau berkata, kuasa mengeluarkan lesen operasi kekal terletak pada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak walaupun Petros, syarikat minyak milik kerajaan negeri telah diiktiraf secara rasmi sebagai agregator gas tunggal di Sarawak bawah kenyataan bersama baharu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kementerian (itu) juga ada kuasa untuk berikan pengecualian. Memandangkan Petronas syarikat minyak negara, kementerian akan mengecualikan mereka sewajarnya.

“Kita akan berikan pengecualian. Bagaimanapun, (Petronas) mesti mohon dahulu,” katanya dalam sidang DUN Sarawak, seperti dilapor The Borneo Post.

Abang Johari berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada kenyataan bersama ditandatangani semalam, yang menandakan perkembangan penting dalam kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Katanya, kenyataan bersama itu mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan untuk menghormati hak Sarawak bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Apabila ditanya sama ada kenyataan bersama itu akan terus berkuat kuasa jika pucuk pimpinan kerajaan persekutuan bertukar, Abang Johari menjelaskan, perjanjian-perjanjian komersial yang dibuat sebelum ini, termasuk semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin, masih lagi sah.

Tambahnya, kenyataan bersama itu mengesahkan saling pengiktirafan undang-undang persekutuan dan negeri, khususnya Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016, yang menggariskan peranan Petros sebagai agregator gas tunggal di negeri itu mulai 1 Mac.

“Kerangka kerja perundangan yang kolaboratif ini memberikan kejelasan dan kepastian bagi industri minyak dan gas di Sarawak, khususnya pengiktirafan peranan Petros sebagai agregator gas,” katanya. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share