Sasaran Sebenar Lembaga Disiplin Bersatu Adalah Hamzah Zainuddin – Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR, 30 Okt 25 — Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa bahawa tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanyalah “kolateral” kepada sasaran sebenar parti — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam sidang media yang diadakan di Parlimen hari ini, beliau mendakwa Lembaga Disiplin Bersatu kini digunakan sebagai alat politik dalaman bagi menyingkirkan tokoh tertentu, termasuk Hamzah yang dilihat sebagai sasaran utama siasatan parti.

“Sasaran utama lembaga disiplin adalah mereka mahu tindakan dikenakan kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Sebab itulah kami yang dikenakan tindakan ini hanyalah kolateral sebenarnya,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap kenyataan Ketua Armada Nasional, Hilman Idham, yang sebelum ini menegaskan bahawa ahli yang digantung tidak akan diterima semula dalam parti walaupun selepas membuat rayuan.

“Bagaimana seorang Ketua Pemuda Bersatu yang menang secara menipu boleh membuat kenyataan mendahului Lembaga Rayuan yang belum pun bersidang? Ini membuktikan budaya bobrok sedang berakar dalam kepimpinan Bersatu hari ini,” tegasnya.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tanda budaya politik baharu yang songsang, menyerupai “politik kartel” yang pernah berlaku dalam parti lain, dan kini mula menjangkiti Bersatu.

“Budaya ini bukan budaya asal Bersatu. Ini budaya PKR dulu — budaya kartel yang memecahbelahkan dan merosakkan parti,” katanya.

Menurut beliau, kepimpinan parti hari ini telah menyimpang daripada semangat asal perjuangan Bersatu dan gagal mengawal kemelut dalaman yang semakin meruncing.

“Apa yang berlaku hari ini adalah kepincangan luar biasa, dan malangnya ia dibiarkan berterusan oleh Presiden sendiri,” ujar Wan Ahmad Fayhsal dengan nada kecewa.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan disiplin secara terpilih bukan sahaja menjejaskan perpaduan parti, malah boleh membawa kesan besar terhadap kekuatan Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya akan datang.

“Perkara ini bukan sekadar isu dalaman parti. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan PN sebagai blok pembangkang yang sepatutnya bersatu menghadapi lawan sebenar,” katanya lagi.

Sidang media tersebut diadakan susulan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Wan Ahmad Fayhsal sendiri, yang kini mendakwa wujud campur tangan politik dalam urusan parti serta konspirasi untuk menyingkirkan Hamzah Zainuddin daripada kepimpinan tertinggi Bersatu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share