Pisah Peguam Negara-Pendakwa Raya Mampu Hapus Syak Wasangka

KUALA LUMPUR, 13 Sep 25 – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengakui kedudukannya mudah dipersoalkan apabila terlibat membuat keputusan dalam siasatan jenayah berprofil tinggi, termasuk membabitkan anggota Jemaah Menteri.

Beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada sifat jawatan Peguam Negara yang memegang dua peranan utama – sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, serta sebagai Pendakwa Raya.

“Apabila saya memberi nasihat undang-undang kepada kerajaan atau menteri tertentu, pada masa yang sama saya juga mengendalikan pendakwaan. Keadaan ini membuka ruang kepada persepsi bercampur aduk dan syak wasangka,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Mengulas langkah kerajaan memisahkan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Dusuki menyifatkan ia satu usaha penting untuk menamatkan kekeliruan fungsi serta meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang.

Beliau menjelaskan, selepas pemisahan dilaksanakan, Peguam Negara hanya berperanan sebagai penasihat undang-undang manakala kuasa pendakwaan akan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.

“Namun, pemisahan ini memerlukan pindaan undang-undang yang jelas, termasuk terhadap peruntukan perlembagaan dan Kanun Prosedur Jenayah, supaya kuasa pendakwaan benar-benar tersendiri,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melalui jurucakapnya, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengumumkan hasrat untuk memisahkan sepenuhnya kedua-dua jawatan itu sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi.

Langkah tersebut dilihat mampu mengukuhkan integriti sistem pendakwaan negara serta mengurangkan persepsi campur tangan politik dalam kes-kes sensitif. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share