PN Desak Pendekatan Rentas Parti, Cadang Majlis Intervensi Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR 24 Mac 26 — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menggesa pendekatan non-partisan segera dilaksanakan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing ketika ini.

Menurut beliau, konflik berterusan di Asia Barat telah mula memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia, melalui kenaikan harga bahan tenaga, gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos yang semakin meningkat.

Katanya, situasi itu telah menyebabkan kos logistik melonjak, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran dan operasi merentasi pelbagai sektor ekonomi.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, negara berkemungkinan berdepan kenaikan harga barang asas dan makanan, peningkatan kos pengangkutan dan logistik serta kenaikan kos utiliti dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut memberi amaran bahawa kesan lebih besar adalah tekanan terhadap sektor pekerjaan, termasuk kemungkinan pengurangan tenaga kerja dalam industri yang terjejas.

Menurutnya, tanpa intervensi dasar yang proaktif, risiko pemberhentian pekerja boleh meningkat, khususnya melibatkan sektor pembuatan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan kenaikan kos bahan mentah.

Sehubungan itu, Samsuri menegaskan bahawa Malaysia memerlukan pendekatan merentasi garis politik yang mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan kepartian.

Dalam cadangan dikemukakan, beliau mencadangkan penubuhan satu platform khas dikenali sebagai Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara yang menghimpunkan pelbagai pihak secara menyeluruh.

Antara pihak yang dicadangkan terlibat termasuk kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri serta wakil masyarakat sivil.

Menurutnya, platform sedemikian penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kepentingan negara secara kolektif dan berasaskan tindakan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal kelangsungan negara. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia tidak boleh bergerak secara berpecah mengikut garis kepartian,” katanya.

Beliau menambah, hanya dengan menghimpunkan kekuatan seluruh negara merentasi perbezaan politik dan latar belakang, Malaysia mampu menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share