PN Diseru Jadi ‘Kapal Besar’ Penyatuan Rakyat, Lebih Inklusif dan Bersifat Massa

KUALA LUMPUR, 31 DIS 25 — Perikatan Nasional (PN) digesa diwajahkan semula sebagai sebuah “kapal besar” penyatuan rakyat yang merangkumi pelbagai segmen masyarakat, melangkaui kerangka gabungan dua parti semata-mata, bagi mencerminkan misi besar dan kesiapsiagaannya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa, berkata hala tuju PN wajar dibuka kepada penyertaan lebih luas termasuk golongan profesional, teknokrat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan NGI daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, langkah itu penting bagi menggambarkan keazaman PN sebagai sebuah wadah yang berkemampuan dan diyakini rakyat untuk menjadi alternatif kepada kerajaan Madani, selain melengkapkan kepimpinan dengan representasi pelbagai segmen masyarakat.

“PN mesti menggerakkan usaha besar penyatuan Melayu-Islam tanpa meninggalkan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam untuk bersama-sama membina negara,” katanya, sambil menegaskan keperluan PN mencerminkan aspirasi rakyat Malaysia yang majmuk dari segi kaum dan budaya.

Mohd Zai turut menekankan keperluan PN meninggalkan imej eksklusif dan bergerak ke arah pendekatan yang lebih inklusif sebagai gerakan rakyat, dengan agenda utama memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan serta perniagaan yang semakin membebankan rakyat.

Beliau mencadangkan agar PN memperuntukkan sebahagian kuota kepimpinan kepada tokoh profesional, teknokrat serta wakil NGO dan NGI, selain pimpinan politik, bagi mengukuhkan keyakinan awam terhadap keupayaan gabungan itu mentadbir negara.

Mengulas peralihan kepimpinan PN, Mohd Zai berkata pelantikan Pengerusi PN yang baharu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan peluang besar untuk mewajahkan semula PN sebagai gerakan politik massa yang inklusif, berkeupayaan dan diyakini seluruh rakyat Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share