Psikoanalisis: Muhyiddin Pasca PRU15

Sigmund Freud memperkenalkan teori psikoanalisis yang menekankan bahawa banyak tindakan manusia tidak dikawal oleh kesedaran semata-mata, tetapi dipengaruhi oleh dorongan bawah sedar, termasuk keinginan, ketakutan, dan trauma masa lampau.

Ahli psikoanalisis lain seperti Erik Erikson dan Henry Murray pernah menganalisis pemimpin dunia, termasuk Stalin, dan menyimpulkan bahawa keinginan Stalin untuk menguasai secara mutlak adalah sebahagian daripada usaha menampung rasa rendah diri pada zaman kanak-kanaknya.

Pendekatan ini bukan bertujuan menghina, tetapi membantu memahami karakter pemimpin melalui perilaku mereka. Dalam konteks politik Malaysia, psikoanalisis boleh digunakan untuk menilai perjalanan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu, terutamanya pasca PRU15.

Semasa era PH 1.0, Muhyiddin pernah menyatakan bahawa beliau “tidak mahu lama menjadi pembangkang.” Ungkapan ringkas ini, secara psikoanalitik, menggambarkan ketakutan terhadap kehilangan kuasa dan ketidakselesaan berada di luar struktur pemerintahan.

Bagi seorang politikus berpengalaman, kenyataan ini menunjukkan konflik antara keinginan peribadi dengan realiti demokrasi — bahawa mana-mana pemimpin perlu bersedia sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang.

Sejarah politik Muhyiddin membuktikan kecenderungan ini. Bersatu ditubuhkan pada 2016, dan hanya dua tahun kemudian, beliau meraih kuasa dalam gabungan Pakatan Harapan. Tempoh menjadi pembangkang hanya sekejap, dan selepas kejatuhan PH pada 2020, beliau kembali ke puncak kuasa sebagai Perdana Menteri sebelum kembali ke kerusi pembangkang pasca PRU15.

Dari perspektif psikoanalisis, perubahan mendadak daripada pemegang kuasa kepada pembangkang memberi kesan langsung terhadap tingkah laku dan motivasi politiknya. Pemerhati melihat beliau semakin lesu dalam memimpin parti dan blok pembangkang; PN kini kelihatan tidak bertenaga bukan kerana kekurangan isu rakyat, tetapi kerana kepimpinannya gagal menyalurkan tenaga politik yang tersusun.

Analisis terhadap hantaran media sosial, kenyataan media dan video beliau sejak menjadi pembangkang menunjukkan kecenderungan untuk menyalin pandangan awam berbanding memimpin naratif baharu. Secara psikoanalitik, ini menunjukkan usaha Muhyiddin meyakinkan dirinya masih berada di posisi pemimpin, walaupun tanpa momentum sebenar untuk memacu parti.

Kesimpulannya, kepimpinan Muhyiddin kelihatan lebih efektif apabila disertai kuasa eksekutif. Tanpa kuasa, arah politiknya menjadi kabur, menunjukkan kebergantungan bawah sedar terhadap legitimasi kuasa, bukan terhadap daya kepimpinan semula jadi. Trauma politik akibat kejatuhan dua kali dari posisi tertinggi mungkin membentuk reaksi bawah sedar yang menolak realiti sebagai pembangkang.

Bagi Bersatu, masa depan parti bergantung kepada sama ada Muhyiddin mampu menerima hakikat bahawa kuasa politik tidak sentiasa kekal dan belajar memimpin parti secara berkesan sebagai pembangkang. Analisis ini membantu memahami dinamika kepimpinan, kelemahan, dan potensi kesan terhadap parti serta pengaruhnya dalam landskap politik Malaysia.

Arshad Rashid – Pelajar Sarjana Dalam Bidang Sains Politik IPT(A)

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kerana Apa Melayu Mesti Terus Pimpin Negara?

Tetapi pada masa sama, beliau menekankan bahawa orang Melayu sebagai kaum majoriti dan penduduk asal perlu kekal berperanan sebagai pentadbir utama, agar struktur negara kekal stabil dan tidak terdedah kepada ketegangan kaum yang merugikan semua pihak.
Read More
Total
0
Share