Sejak dua Jumaat lalu, saya telah membicarakan dua tonggak Konsensus Nasional Baru oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, iaitu ‘Matlamat Bersama’ dan ‘Kemakmuran Bersama’. Kali ini saya membicarakan tonggak ketiga (terakhir), ‘Tadbir Urus Berperikemanusiaan’ iaitu menjadikan Malaysia ‘negara yang rakyatnya bahagia dan bermaruah’ melalui pentadbiran kerajaan dan undang-undang yang bermutu, berintegriti dan berempati.
Butirannya:
- Tiada rakyat tertinggal, terpinggir atau under served. Rakyat yang memerlukan bantuan mesti disantuni dengan proaktif, empati, inklusif dan saksama. Masalah kemiskinan mesti diselesaikan secara komprehensif kerana ia berkait dengan masalah-masalah lain (kebajikan, kesihatan, pendidikan).
- Tiada rakyat dizalimi. Rakyat yang berhadapan masalah undang-undang mesti dibantu dengan adil. Jangan pilih bulu dalam siasatan, prosiding dan keputusan.
- Berubah kepada paradigma empati. Setiap institusi, sistem, peraturan dan pegawai sektor awam dan perundangan hendaklah meninggalkan paradigma simpati dan mengamalkan paradigma empati. Iaitu bergerak ke arah mencegah kelemahan dan meningkatkan perkhidmatan. Rakyat adalah insan, bukannya perangkaan.
- Pembaharuan perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam negara mewarisi sejarah cemerlang. Tetapi mutakhir ini timbul banyak persoalan yang sebahagian besarnya merupakan akibat campur tangan politik. Ia perlu diperkasa semula dan diperbaharui. Yang paling penting ialah meningkatkan mutu kepakaran.
- Merombak sistem kebajikan. Negara mempunyai terlalu banyak agensi, organisasi dan yayasan kebajikan persekutuan dan negeri. Tetapi masih ramai tidak mendapat bantuan sewajarnya. Ia mesti disusun semula.
- Memastikan kedaulatan undang-undang. Mesti terdapat jaminan bahawa peruntukan-peruntukan tentang nilai-nilai kebenaran dan keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri-negeri serta undang-undang dan enakmen-enakmen dikuatkuasakan dengan tulus dan telus. Pulihkan keyakinan rakyat terhadapnya.
- Menubuhkan Suruhanjaya Undang-undang. Ini diperlukan untuk menilai dan/atau memperbaiki mana-mana ketidak harmonian antara undang-undang Persekutuan dan enakmen-enakmen Negeri-negeri, undang-undang takberperlembagaan, undang-undang lapuk, penyeragaman undang-undang dan penggubalan undang-undang baru.
- Mewujudkan kerangka governans baru. Bangunkan kerangka governans baru yang melibatkan ketiga-tiga sektor utama (kerajaan, perniagaan/swasta, masyarakat sivil). Mereka menjadi rakan-pembangunan dan mengamalkan syura (perundingan). Ini meningkatkan mutu dan rasa kepunyaan sesuatu keputusan.
- Mengamalkan perundingan dengan betul. Konsep yang lebih tepat ialah perundingan (syura), bukannya libat urus. Perundingan mempunyai makna lebih luas, iaitu termasuk demokrasi. Perundingan hanya berkesan sekiranya berlandaskan elemen-elemen ‘perwakilan’, ‘penghakupayaan’ dan ‘partisipatori’, bukannya tokenism, window dressing atau taktik melengah-lengahkan.
- Kesan yang membahagiakan rakyat. Keseluruhan pentabiran kerajaan dan undang-undang mesti memberikan kesan yang membahagiakan dan menjaga maruah rakyat. Rakyat perlu diyakinkan (trust) akan institusi-institusi, sistem-sistem dan undang-undang. Supaya tidak bimbang akan nasib anak cucunya.
Dalam satu peperangan, Abu Bakar As-Siddiq telah menyumbangkan segala hartanya dan menyerahkan nasib keluarganya kepada Allah dan Rasul-Nya. Umum menafsirkan ini menunjukkan tingginya iman beliau. Ini benar. Tetapi terdapat satu lagi yang benar, iaitu beliau yakin negaranya, iaitu Madinah, akan menjaga keluarganya dengan sebaik-baiknya.//
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.