
KUALA LUMPUR, 21 Sep 25 — Parti Putra mendesak kerajaan mengambil alih pembangunan di Kampung Baru daripada pemaju yang dakwanya gagal menjaga kepentingan penduduk Melayu.
Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali mendakwa, pemaju juga hanya menjadikan tanah di kawasan itu sebagai alat mendapatkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan nilai kepentingan kedaulatan tanah pusaka Melayu itu.
“Pembangunan Kampung Baru bukan isu komersial, tetapi persoalan maruah sebuah bangsa, kedaulatan tanah rizab Melayu, dan survival umat Melayu di jantung Kuala Lumpur.
“Menggadaikan tanah ini sama ertinya dengan menyerahkan jantung bangsa kepada orang luar dan membawa erti Kemerdekaan negara tiada gunanya,” katanya, dalam satu kenyataan.
Ibrahim menegaskan, kerajaan wajar melunaskan pampasan yang telah dibayar pemaju setakat ini dianggarkan sekitar RM66.4 juta.
“Sekalipun mencecah RM100 juta atau lebih, jumlah itu tidak seberapa berbanding nilai sebenar tanah Kampung Baru yang bernilai berbilion ringgit, apatah lagi jika dibandingkan dengan maruah bangsa Melayu yang tidak ternilai harganya.
“Jangan jadikan isu pampasan sebagai alasan untuk mengekalkan pengkhianatan,” kata Ibrahim.
Sehubungan itu katanya, kerajaan wajar menggerakkan agensi khusus untuk orang Melayu dan Islam melaksanakan perkara itu.
“Institusi ini memiliki dana, pengalaman dan tanggungjawab moral untuk membangunkan tanah pusaka Melayu secara bermaruah, berintegriti, serta memberikan manfaat langsung kepada umat Islam sendiri.
“Jika kerajaan gagal menggerakkan institusi-institusi ini, ia membuktikan kelemahan dan ketiadaan keberanian untuk mempertahankan hak bangsa,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.