
KUALA LUMPUR, 28 OKT 25 – Umno tidak pernah melarang mana-mana ahli parti Melayu itu berjumpa dengan mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Umno tidak melarang mana-mana ahli untuk berhubung dengan sesiapa, termasuk mereka yang dijatuhkan hukuman disiplin mahupun yang berbeza parti.
“Berbeza ideologi politik jangan sampai putus hubungan silaturahim,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di media sosial Facebook miliknya.
Walaupun tidak menyatakan secara terperinci, kenyataan itu dipercayai menyindir tindakan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali yang mengeluarkan pekeliling melarang mana-mana ahlinya untuk berhubung dengan sesiapa termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman disiplin.
Melalui pekeliling itu, Azmin mengingatkan pemimpin dan ahli Bersatu agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.
Ia berikutan kumpulan pemimpin yang dipecat menganjurkan siri Jelajah Selamatkan Maruah Ahli dan Kepimpinan (Semarak) minggu lepas di Johor dan Melaka.
Jelajah itu menghimpunkan ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dan ketua-ketua bahagian Bersatu yang dipecat dan memberikan pencerahan kepada ahli parti berkenaan situasi sebenar yang berlaku dalam parti.
Turut serta dalam jelajah dua hari bermula Sabtu, 25 Okt lepas adalah Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang turut membuat gesaan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dari jawatan Presiden Bersatu. @politiko,my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.