“Raja Bukan Alat Sentimen Awam, Bukan Tunduk Tekanan Politik” – Sultan Pahang

Foto – Facebook Kesultanan Pahang

KUALA LUMPUR | 3 Feb 26 — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa institusi Raja Berperlembagaan bukan alat sentimen awam dan tidak tunduk kepada tekanan politik, ketika menjelaskan isu kuasa pengampunan yang menjadi polemik kebelakangan ini.

Bertitah dalam Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120, semalam, Paduka Baginda menekankan bahawa kuasa pengampunan tidak boleh dihakimi melalui pentas politik atau kemarahan awam, sebaliknya perlu difahami sebagai mekanisme perlembagaan yang sah dalam sistem keadilan negara.

Menurut Paduka Baginda, kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukan hadiah politik, bukan simpati peribadi dan bukan manifestasi kelemahan sistem, tetapi berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.

“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah Paduka Baginda.

Sultan Pahang turut menegaskan bahawa sebarang pengurangan hukuman tidak memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.

Baginda menjelaskan bahawa proses pengampunan bukan keputusan unilateral Raja, sebaliknya dibuat melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan sistem semak dan imbang yang berlapis.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pengampunan bukan eksklusif kepada satu individu, parti atau kedudukan tertentu, sebaliknya diamalkan secara konsisten setiap tahun melibatkan ratusan banduan daripada pelbagai latar belakang dan kategori kes.

“Dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran,” titah Baginda lagi.

Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara berprinsip, berperlembagaan dan berdaulat, serta mendoakan agar negeri Pahang dan negara keseluruhannya sentiasa berada dalam rahmat Allah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share