
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 — Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan menegur kerajaan kerana gagal menjadikan Bahasa Melayu benar-benar mantap sebagai bahasa negara, walaupun sudah lebih enam dekad Malaysia mencapai kemerdekaan.
Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, Awang mendedahkan bahawa Audit Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan bahasa kebangsaan itu masih belum berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa penyatuan nasional.
Beliau menegaskan bahawa situasi ini amat membimbangkan kerana Bahasa Melayu sepatutnya menjadi asas jati diri negara serta wahana perpaduan nasional.
“Bahasa Melayu, setelah 68 tahun merdeka, masih belum betul-betul mampan sebagai bahasa negara,” katanya, merujuk hasil audit DBP.
Awang turut mengkritik kewujudan dualisme pendidikan, termasuk program DLP (Dual Language Programme) yang memperkukuh jurang penguasaan Bahasa Melayu antara murid sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.
Menurutnya, sukatan pelajaran dan buku teks yang berbeza antara dua jenis sekolah menyebabkan jurang kecekapan bahasa terus melebar — bertentangan dengan semangat pembinaan negara bangsa.
Beliau turut menyentuh isu teks undang-undang di mahkamah, memaklumkan bahawa banyak akta dan dokumen penting bukan dalam bahasa kebangsaan, sehingga menimbulkan masalah tafsiran di mahkamah.
“Isu teks sahih dalam Bahasa Melayu belum diselesaikan. Ini menimbulkan implikasi besar kepada tafsiran undang-undang negara,” tegas beliau.
Awang berkata kerajaan mesti mempercepat usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja dalam pendidikan, tetapi juga ekonomi, pentadbiran, undang-undang dan semua sektor utama negara.
Beliau menegaskan bahawa kemampanan Bahasa Melayu bukan retorik, tetapi asas kelangsungan identiti nasional dan perpaduan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.