Pada 14 Februari lalu, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah membuat seruan supaya kita melakukan reset untuk membina Malaysia yang lebih baik.
Pada saya, ini bukannya seruan politik. Sebaliknya, ini seruan strategik bagi membentuk konfigurasi politik yang matang dan stabil.
Lebih penting lagi, ini adalah seruan (calling) untuk gerakan (movement) pembinaan bangsa yang komprehensif. Dari satu segi, ia menuntut pembaikan-pembaikan institusi, sistem dan undang-undang sedia ada. Manakala dari segi yang lain, ia memerlukan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah baru.
Sebenarnya kita mewarisi sejumlah masalah atau bagasi dari era terdahulu, iaitu kelemahan institusi-institusi dan sistem-sistem (politik, ekonomi dan sosial) serta undang-undang.
Malangnya, pertembungan politik yang tajam dan berdendam bukan sahaja melemahkan keadaan politik semasa yang memang sedia tidak stabil, malah ia memburukkan lagi masalah-masalah intitusi, sistem dan undang-undang tersebut.
Institusi-institusi dan sistem-sistem yang fundamental untuk keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan telah reput. Bukannya tidak ada perancangan dan pelaksanaan untuk menyelesaikannya. Tetapi, ia tidak memadai. Atau penggerak-penggeraknya tidak bersungguh-sungguh.
Justeru, memang telah sampai masanya untuk reset dilakukan, iaitu membaiki dan menyusun-semula sistem-sistem dan institusi-institusi fundamental yang pernah menjadikan kita hebat. Ini perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan semasa dan untuk mendepani keadaan masa depan.
Reset perlu bermula dengan keinsafan. Bahawa reput wujud. Reset tidak akan berlaku sekiranya kewujudan reput tidak diakui. Atau reput dianggap normal. Atau mengatakan tidak ada apa-apa dapat dilakukan. Atau ada pihak yang meraih kuntungan daripadanya. Atau mereka yang ingin menghapuskan kereputan pula yang dianggap sebagai masalah, lalu perlu dihapuskan!
Reset memerlukan pencarian roh. Dari satu segi, ia perlu berasaskan nilai, contohnya, kebenaran, keadilan dan kesaksamaan, bukannya kepalsuan, kezaliman dan pengasingan. Ini harus difokus, terutamanya kerana kita sedang hidup dalam ‘zaman fitnah’.
Dari segi yang lain, perlu ditetapkan garis-garis besar haluan perjuangan kita. Dalam konteks ini, Hamzah telah mengemukakan gagasan Konsensus Nasional Baru.
Reset perlu komprehensif. Meliputi seluruh spektrum kehidupan. Dari segi polisi negara, induknya mesti diperkukuh. Ini merujuk penghayatan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, Perjanjian Malaysia 1963, serta dasar-dasar utama, contohnya, tentang bahasa Melayu, kedudukan Islam, masyarakat majmuk dan federalisme.
Reset perlu praktikal. Ia harus bermula dengan perkara-perkara yang sememangnya amat didamba oleh rakyat, contohnya, menyelesaikan masalah kos sara hidup. Perlu pastikan rakyat mempunyai makanan yang cukup dan berzat di atas mejanya setiap hari.
Yang paling penting ialah reset perlu diyakini rakyat. Kerana rakyat telah muak dengan memo dan manifesto. Rakyat telah mual dengan wajah-wajah yang sama dan dengan tawaran-tawaran yang sama.
Rakyat perlu dihidangkan dengan wajah dan pasukan politik yang baru dan segar, yang memenuhi maksud hafiizun’aliim (Yunus: 55), iaitu mampu, berintegriti, amanah dan tahu cara menguruskan pembangunan negara, serta yang mendengar rintihan rakyat di bawah dan benar-benar bersedia untuk membantu dan memandu rakyat dan negara ke arah yang lebih maju, makmur dan sejahtera.//
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.