
KUALA LUMPUR, 28 NOV 25 — Menjelang hari pembuangan undi esok, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata pengundi Sabah kali ini lebih berani membuat pilihan yang menentukan masa depan negeri secara keseluruhan, bukan sekadar memilih sebuah kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, beliau melihat perubahan sikap rakyat sejak beberapa minggu lalu, yang menurutnya menunjukkan kematangan politik semakin meningkat.
“Kali ini mereka mahu memilih masa depan, bukannya kerajaan semata-mata. Mereka mahu politik maruah, bukan politik rasuah; politik integriti, bukan politik kroni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin mendakwa pengundi Sabah saban hari semakin tidak berpuas hati dengan pentadbiran negeri semasa yang menurutnya gagal menangani isu asas rakyat, termasuk kematian seorang pelajar perempuan baru-baru ini, selain masalah air, elektrik dan jalan raya.
Beliau turut membangkitkan keadaan daif penempatan setinggan di Kg Sembulan walaupun berada berhampiran pusat bandar.
Dalam masa sama, Saifuddin menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai medan untuk rakyat menuntut pembangunan yang lebih terancang dan adil.
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) hadir dengan menawarkan manifesto komprehensif bagi menyelesaikan isu rakyat, antaranya:
Mengembalikan 40% hasil negeri kepada Sabah
– RM3 bilion bagi penyelesaian masalah bekalan air, elektrik dan jalan
– RM1 bilion untuk perumahan mampu milik
– RM350 juta bantuan pendidikan untuk semua peringkat
– RM400 juta dana keusahawanan untuk belia dan wanita
– 80,000 peluang pekerjaan baharu
“Sabah negeri kaya tetapi rakyat masih miskin. Ini mesti diubah,” katanya.
Saifuddin percaya pengundi kini lebih berani menolak politik sogokan, ugutan dan nepotisme yang menurutnya masih wujud.
“Sabah berani berubah!” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.