
KUALA LUMPUR | 20 Mei 26 — Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mempersoalkan keperluan mewujudkan laluan khas kepada lepasan UEC untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sambil menegaskan bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi atas apa juga alasan.
Beliau berkata, penjelasan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi setakat ini menegaskan bahawa tiada soal pengiktirafan UEC, sebaliknya hanya melibatkan laluan kemasukan khas.
Namun begitu, Awang Sariyan mempersoalkan rasional kewujudan laluan khas tersebut sekiranya benar 80 hingga 90 peratus lepasan UEC telah mengambil peperiksaan SPM seperti didakwa pihak tertentu.
“Kalau benar majoriti mereka sudah mempunyai sijil SPM, maka mereka boleh memohon melalui saluran biasa. Tidak sepatutnya timbul keperluan untuk laluan khas,” katanya.
Beliau berkata, alasan bahawa laluan khas diwujudkan bagi membantu pelajar di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan juga tidak begitu kukuh kerana pelajar tahfiz dan institusi lain yang memiliki SPM tetap menggunakan kaedah permohonan biasa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perjuangan menolak pengiktirafan UEC bukan isu baharu, sebaliknya pendirian konsisten pejuang bahasa dan pendidikan sejak puluhan tahun lalu.
Awang Sariyan menjelaskan bahawa Penyata Razak 1956 telah menetapkan empat syarat utama bagi sesuatu sijil diiktiraf dalam sistem pendidikan negara, iaitu kurikulum berteraskan kenegaraan, penggunaan bahan pengajaran yang diselia kerajaan, latihan guru melalui institusi rasmi serta sistem peperiksaan yang dikendalikan badan berwibawa negara.
Katanya, sehingga kini masih belum ada penjelasan terperinci mengenai kandungan sebenar kurikulum UEC.
“Kalau empat ciri asas itu tidak dipenuhi, maka tidak ada sebab kerajaan perlu melayan tuntutan pengiktirafan UEC kerana ia bertentangan dengan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan berkaitan pendidikan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tanpa perundingan bersama pakar dan badan pemikir kerana ia melibatkan identiti negara, perpaduan rakyat dan masa depan sistem pendidikan negara.
Dalam perkembangan sama, Awang Sariyan memaklumkan beliau telah mengutuskan mesej kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi bagi memohon ruang perbincangan antara kerajaan dan Majlis Bahasa Negara berhubung isu tersebut.
Katanya, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan berpandangan jauh dalam soal pendidikan agar tidak menimbulkan kekeliruan serta ketegangan dalam masyarakat.
Isu UEC kembali muncul apabila baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi bahawa lepasan UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.
Keputusan tersebut bagaimanapun mencetuskan polemik apabila pelbagai pihak mendakwa ia membuka ruang pengiktirafan secara tidak langsung terhadap UEC walaupun sijil itu berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.