
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sedang menjadikan negara ini sebagai ‘drakonian’ susulan penahanan beberapa individu berkait himpunan Turun Anwar baru-baru ini.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dilapor berkata, tangkapan tersebut sebenarnya tidak perlu dilakukan.
“Saya tidak fikir kita boleh harapkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan ini.
“Kerajaan ini adalah hasil gabungan parti-parti yang mempunyai agenda berbeza, yang disatukan oleh Anwar Ibrahim yang sanggup ‘menjual jiwa’ semata-mata untuk menjadi perdana menteri.
“Apa lagi yang kita boleh harapkan daripada kerajaan ini?” katanya yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor.
Polis menahan Setiausaha Kerja Bersatu Perak, Furqan Hakimi dan ahli Bersatu, Syafiq Aziz serta Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkaitan himpunan itu.
Tangkapan terbabit katanya menunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menegakkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun yang dijamin Perlembagaan.
“Anwar sedang mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang drakonian. Tapi ini memang dijangka kerana dia seorang yang sanggup buat apa sahaja demi kekal berkuasa,” katanya lagi. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.