Bersatu Diserap Budaya Menakut-Nakutkan

KUALA LUMPUR, 15 MEI 25 – Budaya menakutkan semakin menular dalam Bersatu sehingga menyekat ahli menyuarakan pandangan khususnya membabitkan isu kepimpinan sama ada peringkat negeri mahupun Pusat.

Sumber dalaman Bersatu mendakwa budaya itu didalangi pemimpin yang dilantik Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan strategik parti.

Mereka didakwa menekan dan mengugut pemimpin lain yang mengkritik dan menyuarakan pandangan.

“Memang ketika ini dalam parti Bersatu ada ‘culture of fear’ yang semakin menjadi-jadi.

“Berpunca daripada beberapa individu yang dari segi kedudukan politiknya lemah, dan mereka bergantung talian hayat melalui lantikan jawatan yang diberi presiden parti,” kata sumber, memetik laporan Scoop.

Dakwanya, pemimpin itu menggunakan nama Muhyiddin bagi menghalang pemimpin lain bersuara.

‘Kalau bercakap pasal parti, mereka akan disergah oleh beberapa individu ini, macam-macam amaran diberi sehinggakan ramai daripada ahli parti ini terpaksa bercakap kepada media luar tanpa mendedahkan nama.

“Kalau nama terdedah, pasti kena ‘cantas’ dan macam-macam lagi gertakan termasuk tiada peluang untuk menjadi calon pilihan raya ,” katanya.

Sumber berkata,  mereka turut melarang ahli berbincang dengan serius termasuk mengenai pelan peralihan kepimpinan yang dicadang Muhyiddin pada Julai tahun lalu.

“Mereka gunakan ‘culture of fear’ untuk mendiamkan banyak pemimpin yang membangkitkan persoalan keputusan dibuat tahun lepas oleh presiden berkenaan pelan peralihan itu.

“Ramai pemimpin Bersatu bercakap sesama sendiri mengenai keperluan perubahan kepimpinan dijalankan segera mengikut susunan yang diumumkan presiden Julai tahun lepas.

“Janji dah pun dibuat, tapi tidak ada yang berani bercakap secara terbuka kerana ‘culture of fear’ itu yang dah menjadi-jadi, ada yang diugut supaya tidak membincangkannya.

“Jadi isu-isu sebegini membuatkan jentera parti juga tidak berfungsi, disebabkan kepimpinan tidak mahu mendengar pandangan,” katanya

Sumber berkata, situasi itu dikatakan menjadi lebih tegang susulan krisis kepimpinan Bersatu di Perak yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sehingga dikatakan adanya kewujudan akuan bersumpah (SD).

“Apakah benar SD itu wujud?, ya , namun sebelum sempat perkara ini diserahkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), ada sekumpulan kecil di kalangan ketua bahagian yang mahu pertahankan Faizal dan mereka buat penafian SD tidak wujud.

“Difahamkan lebih daripada 40 SD dalam kalangan ketua bahagian dan ketua sayap Armada dan Srikandi yang mahu Faizal ditukar daripada mengemudi Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Perak.

“Cuma sekarang isu ini semakin terdedah di media maka diharap pemimpin atasan bertindak segera, tapi yang sangat mengecewakan, tidak ada pun tindakan lanjut,” katanya.

Menurut sumber, ramai pemimpin Bersatu di Perak mahukan seorang ketua yang serius untuk memimpin Bersatu memasuki pilihan raya, bukan seorang pelawak yang kerjanya mengadu domba dan ‘membunuh pesaing politiknya’.

“Dia (Faizal) gagal sebagai ketua di semua peringkat,” katanya. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share