Tn Guru Hadi Sifatkan Malaysia Ibarat Ular Lidi Bersahabat Dengan Anakonda Amerika

Foto – facebook Media Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 5 NOV 25 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat dalam hubungan diplomatik dan ekonomi, menyamakan situasi itu seperti “ular lidi bersahabat dengan anakonda.”

Menurut beliau, dalam perumpamaan tersebut, ular lidi yang kecil dan lemah menggambarkan Malaysia sebagai negara sedang membangun, manakala anakonda yang besar dan rakus melambangkan Amerika Syarikat sebagai kuasa kapitalis yang mementingkan kepentingan sendiri tanpa mengira rakan atau lawan.

“Anakonda mampu menelan apa sahaja yang berada di sekitarnya, termasuk ular lidi yang disangka kawan,” katanya dalam satu kenyataan panjang hari ini.

Hadi menegaskan, pelaburan berskala besar oleh kuasa besar Barat sering menjadikan negara kecil sebagai sasaran ekonomi, bukan sekadar medan perdagangan tetapi juga alat untuk mengekalkan pengaruh penjajahan moden.

Beliau turut menyindir tindakan ASEAN menjemput bekas Presiden AS, Donald Trump dalam Sidang Kemuncak ke-47 baru-baru ini sebagai tanda bahawa “ular lidi masih berlindung di bawah anakonda,” tanpa menyedari bahaya yang menanti.

“Malaysia kini cenderung menyertai blok Amerika dalam perang dingin ekonomi dengan Rusia dan China. Tindakan ini boleh mengundang bahaya besar kepada rantau kita,” katanya.

Menyorot sejarah, Hadi memuji pendekatan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara Asia dan Afrika semasa pentadbirannya. Menurutnya, langkah itu menjadikan Malaysia dihormati dan dikenali sebagai Harimau Asia.

Beliau turut menyatakan bahawa negara Islam memiliki potensi besar untuk bangkit jika bersatu — dari Asia hingga ke Afrika — dengan kekayaan sumber asli dan kekuatan tenaga manusia yang mampu menandingi kuasa besar dunia.

“Malangnya, Malaysia memilih kawan yang salah,” tegasnya, sambil menyifatkan kapitalisme Amerika kini sedang merudum dan sedang mencari mangsa baharu bagi menyelamatkan dirinya.

Abdul Hadi menutup kenyataan itu dengan peringatan agar Malaysia bergantung kepada kekuatan sendiri dan umat Islam bersatu atas dasar iman serta prinsip keadilan, bukan tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis yang “bertuhankan harta.”

“Kalau anakonda tidak ada makanan, ular lidi di sisinya pasti ditelan,” ujarnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share