Tan Tee Beng : Anwar Gagal Tunaikan Janji Pemulihan Ekonomi

KUALA LUMPUR | 3 Jun 26 – Bekas Ahli Parlimen PKR, Tan Tee Beng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal menterjemahkan pelbagai janji yang pernah dibawa sejak menjadi Ketua Pembangkang kepada hasil ekonomi yang dapat dirasai rakyat.

Menurut beliau, selepas memegang tampuk pentadbiran negara, kerajaan pimpinan Anwar masih belum menunjukkan penyelesaian yang jelas terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat dan sektor perniagaan.

“Sejak menjadi Ketua Pembangkang sehingga menjadi Perdana Menteri, banyak janji telah dibuat. Namun sehingga hari ini, saya tidak nampak perubahan besar yang benar-benar menunaikan harapan rakyat.

“Keadaan ekonomi semakin mencabar dan ramai peniaga berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi,” katanya dalam wawancara bersama politiko.

Tee Beng berkata, antara kebimbangan utama yang disuarakan oleh pemain industri ialah ketiadaan strategi ekonomi yang mampu menjana pertumbuhan mampan serta meningkatkan keyakinan sektor perniagaan.

Menurutnya, golongan perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta perusahaan sederhana (SMI) masih bergelut dengan pelbagai tekanan kos, sedangkan sektor itu merupakan tulang belakang ekonomi negara.

“Jika SME dan SMI tidak mampu bertahan, kesannya bukan sahaja kepada pemilik perniagaan tetapi juga ribuan pekerja yang bergantung kepada sektor tersebut untuk mencari nafkah.

“Apabila syarikat terpaksa mengecilkan operasi atau menutup perniagaan, rakyat biasa yang akan menerima kesan paling besar,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerajaan masih belum memperkenalkan langkah yang benar-benar berkesan untuk memperkukuhkan sektor SME dan SMI selain menawarkan kemudahan pembiayaan.

Katanya, bantuan berbentuk pinjaman semata-mata tidak mencukupi sekiranya perniagaan terus berdepan cabaran untuk berkembang dan meningkatkan keuntungan.

Dalam masa sama, Tee Beng berpendapat kepimpinan negara memerlukan perancangan ekonomi yang lebih jelas dan berorientasikan pelaksanaan berbanding retorik politik.

“Rakyat hari ini mahu melihat hasil. Mereka mahu melihat peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang meningkat dan kos hidup yang lebih terkawal.

“Kejayaan sesebuah kerajaan bukan diukur melalui ucapan yang baik, tetapi melalui perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi perhatian lebih serius kepada pemulihan sektor ekonomi domestik kerana ia merupakan asas kepada kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share