Mutakhir ini heboh perdebatan tentang pelan penggantian pemimpin sebuah parti politik tertentu. Kini, perdebatannya telah bertambah meluas dan menjadi penggantian pemimpin sebuah gabungan parti-parti politik yang melibatkan parti tertentu itu.
Ada yang mendesak bahawa pemimpin parti yang tertentu itu perlu diganti oleh timbalannya. Manakala dalam gabungan parti-parti politik yang berkaitan, ada yang mendesak agar pemimpin lama perlu diganti dengan pemimpin baru. Siapakah pemimpin baru itu? Jawabnya, asalkan bukan yang lama.
Sebenarnya, penggantian pemimpin adalah lumrah. Iaitu apabila hadir keperluan munasabah.
Apabila hendak mengganti pemimpin, ia bukannya bermakna menolak pemimpin lama mentah-mentah. Segala peranan dan sumbangannya yang lalu tetap dihargai. Legasinya akan dipertahankan. Ini bukannya soal “kacang lupakan kulit” atau “habis madu sepah dibuang”. Ini soal memilih pemimpin yang sesuai dengan tuntutan masa sekarang dan akan datang.
Sejarah Islam mempunyai kisah yang relevan.
Semasa Pembukaan Mekah, pembawa bendera umat Islam iaitu Saad bin Ubadah telah bersorak mengatakan bahawa hari tersebut ialah “Hari Pembalasan” terhadap penduduk Mekah. Sedangkan Rasulullah menggelarnya “Hari Kasih Sayang”. Kerana itu, Rasulullah menggantikan Saad dengan orang lain.
Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menggantikan panglima perang besar Khalid al Walid dengan Ubaidah al-Jarrah.
Kedua-dua contoh tersebut berlaku kerana tokoh baru diperlukan disebabkan faktor-faktor tuntutan masa yang berkenaan.
Dalam parti politik, penggantian pimpinan bukannya satu kesalahan. Sebab itu ada perlembagaan parti yang memperuntukkan, “Jika Presiden berhenti atau diberhentikan maka Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Presiden baharu.”
Malahan, ada perlembagaan parti yang memperuntukkan kaedah-kaedah menurunkan pemimpin. Contohnya, melalui undi tidak percaya atau usul dalam mesyuarat agung khas.
Desakan supaya pemimpin berundur ialah untuk menyelamatkan, menguatkan dan memenangkan parti, bukannya mencemarkan atau merosakkan parti.
Penggantian kepimpinan perlu berlaku dalam kadar segera dan sesuai, Jangan terlalu lambat, contohnya bagi menghadapi pilihan raya (PRU).
Harus mengambil iktibar daripada kesilapan Parti Demokrat dalam pemilihan Presiden US yang lalu. Demokrat terlalu lambat memilih Kamala Harris untuk menggantikan Joe Biden sebagai calon Presiden melawan calon Parti Konservatif Donald Trump.
Apabila Harris diumumkan, Trump telah terlalu jauh di hadapan. Ini faktor utama kekalahan Harris. Ia lebih berupa pertandingan yang Demokrat pilih untuk kalah, bukannya kemenangan Trump sangat.
Begitulah untuk PRU16. Kebanyakan analisis dan indikator menunjukkan ia PRU yang boleh dimenangi PN. Tetapi, sekiranya PN terlalu lambat membuat keputusan-keputusan penting seperti soal penggantian kepimpinan, maka ia boleh bertukar menjadi PRU yang PN pilih untuk kalah.
Soal penggantian pemimpin menjadi rumit apabila melibatkan seseorang pengasas atau tokoh besar parti.
Contohnya, apabila presiden-pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar merasa tidak sesuai lagi berada dalam partinya, maka beliau keluar dan menubuhkan Parti Negara. Sehingga kini beliau dihormati.
Tetapi Robert Mugabe lain ceritanya. Oleh kerana terlalu lama dan taksub berkuasa, maka akhirnya beliau diguling.
Jadi, tepuk dada tanya selera.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.