Kedah Beri Air, Pulau Pinang Jana Bilion: Mana Keadilan?

Oleh : Zul Arif

Perdebatan mengenai tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sering digambarkan sebagai pertikaian sejarah atau cubaan mencabar kedaulatan.

Namun di sebalik naratif politik yang bising itu, ada isu yang jauh lebih wajar, rasional, dan mendesak: bayaran royalti kepada Kedah terlalu kecil dan sudah lama tidak disemak, sedangkan beban fiskal Kedah semakin berat.

Kedah menerima RM10 juta setahun, angka peninggalan perjanjian era kolonial, kononnya sebagai pampasan atau “pajak” sejarah Pulau Pinang. Dalam landskap ekonomi moden, jumlah itu hampir tidak memberi apa-apa impak.

Ia tidak mencerminkan kos sebenar menjaga kawasan tadahan air, mengekalkan hutan simpan, dan menyediakan sumber air mentah yang menjadi nadi industri Pulau Pinang.

Tetapi ada satu lagi faktor besar yang jarang diberi perhatian: struktur tanah Kedah sendiri mengehadkan kemampuan negeri itu menjana pendapatan yang lebih tinggi.

Majoriti tanah di Kedah berstatus pertanian, yang secara undang-undang tidak boleh dibangunkan kepada penggunaan bernilai tinggi seperti industri, komersial atau perumahan tanpa proses tukar syarat yang ketat dan mahal.

Status ini menyebabkan Kedah tidak mampu memanfaatkan tanahnya untuk membina pangkalan hasil negeri yang lebih kukuh.

Di Pulau Pinang, sekeping tanah bersaiz satu ekar boleh menghasilkan pulangan industri bernilai jutaan ringgit setiap tahun. Di Kedah, ekar yang sama, jika kekal berstatus pertanian, mungkin hanya memberikan hasil padi atau tanaman kontan dengan nilai pasaran yang rendah.

Perbezaan struktur ekonomi ini bukan salah Kedah, tetapi ia merupakan realiti geopembangunan yang membatasi kemampuan negeri itu mengumpul hasil. Dalam erti kata lain, Kedah dipintas oleh realiti tanahnya sendiri.

Apabila negeri yang terhad potensinya diminta untuk memelihara hutan, menjaga tadahan air, dan menanggung kos ekologi bagi manfaat negeri jiran yang jauh lebih kaya, maka wujudlah ketidakseimbangan yang besar.

Bayaran RM10 juta setahun jauh daripada memadai, apatah lagi jika dilihat dari perspektif berpuluh tahun sektor industri Pulau Pinang berkembang hasil bekalan air stabil dari Sungai Muda.

Sebaliknya, Pulau Pinang tidak akan terbeban oleh semakan semula royalti ini. Bahkan, pampasan baharu boleh disalurkan melalui kerajaan Persekutuan, tanpa menjejaskan belanjawan negeri atau pelabur.

Yang lebih penting ialah prinsip keadilan: negeri yang mengorbankan tanah dan sumbernya demi keperluan negeri lain perlu menerima pulangan setimpal.

Namun, tuntutan Kedah sering dipolitikkan kerana komunikasi yang tersasar. Apabila tuntutan semakan bayaran dibingkaikan sebagai isu pemilikan, ia membuka ruang kepada serangan politik, sekaligus menenggelamkan hujah sebenar yang lebih munasabah.

Kedah mungkin tidak perlu menuntut Pulau Pinang untuk meminta bayaran yang lebih adil, ia hanya perlu menunjukkan fakta ekonomi yang jelas: nilai sumber meningkat, kos meningkat, maka pembayaran juga mesti meningkat.

Isu struktur tanah pertanian yang mengikat Kedah merupakan alasan kuat mengapa semakan bayaran bukan sekadar wajar, tetapi urgent.

Jika kerajaan Persekutuan benar-benar mahu memperkasa negeri-negeri yang ekonominya tidak homogen, maka formula baharu perlu diwujudkan: menilai nilai air, kos konservasi, kesan peluang pembangunan tanah, dan potensi kehilangan hasil akibat syarat penggunaan tanah yang rigid.

Semakan ini bukan ancaman, tetapi peluang untuk membina model kerjasama negeri yang lebih adil, moden, dan selari dengan realiti ekonomi hari ini.

Air Sungai Muda terus mengalir setiap hari. Tetapi keadilan fiskal tidak seharusnya terus dibekukan sejak zaman kolonial. Sudah tiba masanya Malaysia mengalirkan keadilan itu kembali ke negeri yang menanggung bebannya.

Zulkifli Arif – Seorang pembaca tegar politiko.my

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share