Ugut Wartawan — Menteri Komunikasi, Pemuda PAS Dan PUTRA Bersuara

KUALA LUMPUR, 1 Nov 25 — Kontroversi ugutan terhadap seorang wartawan semasa majlis prapelancaran projek “I Lite U” oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, terus mencetuskan reaksi pelbagai pihak, daripada Kabinet sendiri hingga parti politik pembangkang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai hak untuk bertanya soalan kepada mana-mana menteri dan tidak boleh diugut atau disekat dalam menjalankan tugas profesional.

“Semua wartawan berhak bertanya soalan kepada menteri. Tiada arahan untuk menyekat sesiapa. Saya serahkan kepada menteri terbabit untuk memberi penjelasan, tetapi prinsipnya jelas kerajaan menghormati kebebasan media,” katanya kepada media selepas isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Pemuda PAS: Tindakan Nga “Kebudak-budakan”

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS Malaysia menyifatkan tindakan mengugut wartawan sebagai tidak matang dan “kebudak-budakan”.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata seorang menteri sepatutnya berlapang dada menerima soalan daripada wartawan kerana itu sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

“Ugutan terhadap wartawan bukan sahaja mencerminkan sikap tidak profesional, malah menunjukkan kelemahan dalam menguruskan perbezaan pandangan,” katanya memetik laporan MalaysiaGezette.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berasa terancam dengan pertanyaan media kerana wartawan bertugas bagi pihak rakyat untuk mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu awam.

PUTRA Tuntut Nga Mohon Maaf, Langgar Dasar Bahasa Melayu

Sementara itu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menuntut Nga membuat permohonan maaf terbuka dan dikenakan tindakan disiplin, bukan sahaja kerana mengugut wartawan, tetapi juga kerana melanggar dasar kerajaan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif, berkata tindakan Nga menggunakan nama berbahasa Inggeris bagi projek rasmi kerajaan bercanggah dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 29 Oktober yang menegaskan semua urusan rasmi kerajaan mesti menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

“Apabila seorang menteri sendiri melanggar arahan bertulis kerajaan, ia bukan sekadar isu komunikasi, tetapi pelanggaran dasar negara yang menjejaskan kredibiliti pentadbiran awam,” katanya dalam satu kenyataan.

PUTRA turut menuntut supaya nama projek “I Lite U” ditukar semula kepada Bahasa Melayu, serta mendesak komitmen bertulis daripada semua menteri untuk menghormati dasar bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang kedaulatan dan identiti negara yang wajib dihormati oleh semua penjawat awam,” tambahnya.

Projek “I Lite U” anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sepatutnya menjadi inisiatif promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 kini bertukar menjadi kontroversi politik dan dasar bahasa.

Segalanya bermula ketika sesi pra-pelancaran projek berkenaan minggu lalu apabila Menteri KPKT, Nga Kor Ming, dikatakan menegur dan memberi amaran kepada seorang wartawan yang menyoal mengenai penggunaan nama Inggeris “I Lite U” bagi projek kerajaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share