PAS Gesa Henti Tekan Media Dan Pandangan Kritikal

KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa budaya  menyekat kebebasan media dan pandangan kritikal terhadap kerajaan dihentikan kerana ia dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, amalan itu adalah mirip rejim autokratik yang anti kepada demokrasi dan kakistokrasi.

“Media bebas dan pandangan kritis adalah komponen penting dalam proses semak dan imbang bagi memastikan kerajaan sentiasa telus, bertanggungjawab, selain jujur terhadap dasar serta cita-cita pembaharuan.

“PAS secara konsisten menggesa kerajaan supaya segera menghentikan sebarang bentuk tekanan terhadap media serta pandangan kritis lain, sekali gus mempertahankan prinsip kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta amalan luhur berbeza pandangan yang diraikan oleh agama dan budaya masyarakat yang matang serta budiman,” katanya, dalam satu kenyataan.

Takiyuddin merujuk kepada tindakan penggantungan sementara beberapa akaun media sosial milik portal berita Malaysiakini dan KiniTV di platform Facebook, termasuk akaun peribadi pentadbirnya.

Ia dipercayai berkaitan pendedahan portal berita itu berkenaan kewujudan rangkaian 263 akaun laskar siber untuk menyokong laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Justeru PAS berpendirian sekatan ke atas suara kritikan dan perbuatan menyuburkan sokongan palsu hanya akan membawa negara ke arah kemunduran dan pembodohan rakyat.

Malah, keadaan juga katanya akan menjadi lebih buruk apabila wujudnya iklim sokongan palsu yang cuba dibina seperti yang didedahkan untuk dijadikan ukuran dan justifikasi bagi keberhasilan kerajaan.

“Iklim anti-kritik dan tindakan keras yang diambil terhadap pengkritik bukanlah wajah kepimpinan dan pentadbiran demokratik.

“Sebaliknya ia lebih menyerupai ciri-ciri sebuah rejim autokratik, anti-demokrasi, malah bersifat kakistokrasi yang tidak mempunyai tempat di mana-mana negara bertamadun masa kini,” tegas Takiyuddin lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share