Usul ‘Poster Boy’ Tak Dibentang Dalam MPT, Ia Telah Dirancang Kumpulan Anti Hamzah – WAF

KUALA LUMPUR, 21 Okt 25 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa usul berhubung calon perdana menteri atau “poster boy” dalam Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini telah diatur lebih awal oleh kumpulan tertentu yang bermusuhan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bercakap dalam podcast The Zaid Ibrahim Show, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan bahawa beliau dan beberapa pimpinan Bersatu lain telah mendapat maklumat dua minggu sebelum perhimpunan berlangsung bahawa satu usul besar akan dibawa untuk dibahaskan.

“Kami dah tahu dua minggu sebelum Perhimpunan Agung Bersatu akan ada usul sebegini.

“Siapa yang ‘engineer’ benda ini? Ini orang-orang yang saya kata tadi, yang berseteru dengan Datuk Seri Hamzah. Antaranya, obviously lah, ‘muhajirin’ daripada PKR,” katanya.

Menurutnya, proses pembentangan usul tersebut melanggar kebiasaan parti, kerana tidak melalui saluran Majlis Tertinggi seperti yang diamalkan oleh parti lain.

“Dalam UMNO dan PAS, sebarang usul mesti datang dari bahagian atau negeri, dan perlu diluluskan Majlis Tertinggi sebelum dibahas.

“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi terakhir sebelum Perhimpunan Agung, kami dah tekan Ketua Penerangan, apa usul ni? Tapi dia tak nak bentang,” jelasnya.

Beliau membandingkan situasi itu dengan PAS, yang menurutnya lebih tersusun dan berdisiplin dalam mengangkat sesuatu usul ke muktamar.

“Dalam PAS, Pemuda bahas dulu, bawa ke Dewan Harian, baru ke muktamar sebenar. Bersatu tak macam tu. Mereka nak cepat, tak rujuk pandangan orang lain, jadi semua terkejut,” katanya.

Fayhsal turut mengkritik penasihat-penasihat Presiden Bersatu, yang didakwa tidak memahami cara terbaik untuk mengurus hubungan politik dengan PAS.

“Masalahnya, orang yang nasihat Presiden ni tak tahu urus PAS. Orang PAS pun tak percaya kredibiliti dan akhlak mereka.

“Yang PAS selesa berunding ialah Datuk Seri Hamzah, saya, Ronald Kiandee — sebab kami ada hubungan rapat dengan kepimpinan PAS,” jelasnya.

Katanya, beliau dan kumpulannya sudah menasihati pucuk pimpinan agar tidak mengumumkan calon perdana menteri terlalu awal, kerana langkah itu boleh menjejaskan persepsi rakyat dan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kita boleh elak pergeseran kalau lebih tawaduk dan tak umum poster boy sekarang. Kita pun belum menang. Apa faedahnya umum dalam keadaan kita lemah?” katanya.

Fayhsal turut mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam muktamar parti itu baru-baru ini yang menyebut PAS mahukan calon perdana menteri berumur bawah 70 tahun dan berintegriti tinggi.

“Ini politik Melayu, Dato’. Pukul anak sindir menantu. Itu tanda jelas siapa yang PAS sebenarnya nak,” katanya dengan nada sinis.

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini, meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.

Setiausaha Agungnya, Azmin Ali, berkata perhimpunan itu turut menyokong sepenuhnya kepimpinan ahli parlimen Pagoh itu sebagai presiden Bersatu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share