
KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia bakal berdepan dengan lonjakan kos sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan rancangannya untuk mengenakan tarif ke atas produk farmaseutikal dan peranti perubatan yang diimport, kata Galen Centre for Health and Social Policy.
Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib, berkata tarif ke atas barangan perubatan yang dieksport dari Malaysia ke AS boleh meningkatkan kos tempatan jika produk tersebut kemudiannya diimport semula melalui sistem perolehan kesihatan awam atau swasta meskipun terdapat penangguhan 90 hari terhadap pelaksanaan tarif berkenaan.
“Malaysia merupakan pengeluar dan pengeksport utama kateter, benang lateks, serta sarung tangan perubatan getah asli di peringkat global. Sembilan puluh peratus peranti perubatan yang dikilang di sini adalah untuk eksport, termasuk ke AS,” jelas Azrul, seperti dilapor CodeBlue.
Katanya, produk seperti sarung tangan, kateter, atau pam infusi diimport semula ke Malaysia melalui sistem perolehan, kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna seperti Kementerian Kesihatan (KKM), hospital swasta, serta pihak lain dalam sistem penjagaan kesihatan sekaligus meningkatkan kos penjagaan kesihatan di Malaysia.
Pentadbiran Presiden AS Donald Trump dilaporkan merancang untuk memasukkan import farmaseutikal dan perubatan dalam tindakan perdagangan berasingan, selepas pengecualian awal diberikan kepada sektor tertentu seperti ubat-ubatan, semikonduktor, dan mineral.
Azrul menegaskan ketidakpastian mengenai skop dan masa pelaksanaan tarif ini sudah mula menjejaskan kemampuan sistem penjagaan kesihatan untuk merancang, terutamanya di negara membangun yang sangat bergantung pada rantaian bekalan perubatan global. @sumber