
KUALA LUMPUR, 29 Okt 25 — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menepis dakwaan bahawa perjanjian perdagangan baharu antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan menjejaskan kedaulatan negara, sambil menyifatkannya sebagai “mainan persepsi yang tidak berpaksikan fakta”.
Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar, malah setiap keputusan rundingan dibuat berdasarkan kepentingan ekonomi serta dasar luar negara yang bebas dan pragmatik.
“Malaysia tahu menjaga kedaulatannya. Tiada mana-mana pihak boleh paksa kita ikut sekatan atau dasar luar negara mereka. Semua perjanjian diteliti oleh pakar undang-undang dan ekonomi tempatan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan beberapa penganalisis termasuk Prof Geoffrey Williams, yang mendakwa Artikel 5.1 dalam perjanjian berkenaan boleh membuka ruang tekanan politik Amerika terhadap Malaysia, terutamanya dalam isu sekatan ke atas negara ketiga.
Bagaimanapun, Zafrul menegaskan tafsiran itu tidak tepat dan bersifat spekulatif, malah boleh mengelirukan masyarakat.
“Kita tak boleh pandang setiap kerjasama antarabangsa dari sudut curiga semata-mata. Dalam dunia pelaburan, persepsi negatif boleh merugikan negara,” tegas beliau.
Menurut Zafrul, perjanjian tersebut akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau, serta menjamin akses pasaran yang lebih luas kepada syarikat tempatan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.