MP Ambil Inisiatif Baik Pulih Jambatan Uzur Demi Keselesaan Penduduk

INDERA MAHKOTA | 2 Jun 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mengambil inisiatif membaik pulih sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Taman Kampung Padang 3 dan Taman Kampung Padang 1 selepas kemudahan itu didapati semakin uzur dan tidak terurus.

Jambatan yang terletak di kawasan Taman Impianku itu merupakan laluan penting yang digunakan penduduk setempat untuk berulang-alik antara kedua-dua kawasan perumahan berkenaan.

Menurut Saifuddin, jambatan tersebut dibina menggunakan peruntukan Ahli Parlimen ketika beliau mewakili kawasan itu pada penggal lalu, namun keadaan semasa memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan segera.

“Jambatan ini saya bina menggunakan peruntukan Ahli Parlimen semasa penggal Parlimen yang lalu. Tetapi selepas sekian lama, keadaannya semakin usang dan kawasan sekitar pula dipenuhi semak-samun,” katanya ketika meninjau lokasi berkenaan.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih dilaksanakan dengan bantuan rakan-rakan kontraktor tempatan serta diselaraskan oleh sukarelawan komuniti bagi memastikan kemudahan tersebut kembali selamat dan selesa digunakan.

Selain kerja pembersihan dan pembaikan struktur, jambatan itu turut akan dicat semula bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kemas dan mesra pengguna.

Saifuddin berkata, walaupun projek tersebut bersifat kecil, ia memberi impak besar kepada kehidupan harian penduduk yang bergantung kepada laluan berkenaan setiap hari.

“Apabila ada kemudahan yang semakin rosak atau tidak lagi selesa digunakan, kita cuba cari jalan untuk membaikinya supaya penduduk dapat menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berharap usaha itu dapat meningkatkan keselesaan penduduk Taman Impianku serta memupuk semangat kerjasama masyarakat dalam menjaga kemudahan awam di kawasan kejiranan mereka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share