7 Ahli Parlimen KL Usulkan RUU Persendirian Untuk Reformasi DBKL

Foto – facebook Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 20 Nov 25 — Tujuh Ahli Parlimen penyokong kerajaan Kuala Lumpur telah mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan memperkukuh hak dan kesejahteraan penduduk ibu kota.

Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, langkah ini adalah bagi melaksanakan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dwipartisan yang dikemukakan pada Ogos 2025, yang menekankan keperluan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

“Tujuan pindaan ini adalah melaksanakan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dwipartisan yang dikemukakan pada Ogos 2025 bagi reformasi tadbir urus Kuala Lumpur daripada kuasa mutlak seorang Datuk Bandar yang dilantik Kerajaan Persekutuan kepada sistem ahli majlis, sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan tempatan lain di seluruh negara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, kata Nik Nazmi dalam kenyataan di facebook.

RUU tersebut memperkenalkan sistem ahli majlis, di mana Datuk Bandar tetap memainkan peranan penting tetapi setara dengan ahli-ahli majlis yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kuala Lumpur.

Katanya, langkah ini selaras dengan amalan kerajaan tempatan lain di seluruh negara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan tiada perubahan besar lain dibuat terhadap struktur DBKL.

“Salah satu kaedah praktikal ke arah pendemokrasian yang lebih besar di Kuala Lumpur ialah pelaksanaan sistem ahli majlis, menjadikan Datuk Bandar memiliki peranan penting tetapi setara dengan ahli-ahli majlis yang dicalonkan oleh Ahli Parlimen Kuala Lumpur.

“Tiada perubahan besar lain yang dibuat terhadap Akta Ibu Kota 1960 di bawah RUU ini. Tambahnya.

RUU ini dikemukakan susulan pelbagai kontroversi awam di kawasan bandar yang menimbulkan keresahan rakyat, termasuk di Kuala Lumpur.

Menurut Nik Nazmi, reformasi ini semakin mendesak untuk memastikan tanggungjawab dan ketelusan pentadbiran ibu kota dapat ditingkatkan, sambil mengekalkan keseimbangan kuasa di DBKL.

Langkah ini dianggap sebagai usaha penting ke arah pendemokrasian Kuala Lumpur, yang membolehkan wakil rakyat tempatan memainkan peranan lebih aktif dalam pentadbiran bandar.

Ke tujuh Ahli Parlimen yang menyokong cadangan ini terdiri daripada Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teresa Kok (Seputeh), Ir Ts Zahir Hassan (Wangsa Maju), Tan Kok Wai (Cheras), Lim Lip Eng (Kepong), Prabakaran A/L M Parameswaran (Batu) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share