Sebelum Jadi Kota Hiburan, Adakah KL Sudah Jadi Kota Selamat?

KUALA LUMPUR | 4 Jun 26 — Perancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat hiburan serantau perlu dinilai dari sudut yang lebih besar kerana pembangunan sesebuah bandar raya bukan hanya bergantung kepada tarikan ekonomi, tetapi juga tahap keselamatan, kualiti hidup dan keharmonian masyarakat.

Penyelaras RESET KL, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, usaha merancakkan ekonomi Kuala Lumpur tidak boleh dilihat hanya melalui angka keuntungan atau jumlah acara hiburan yang dianjurkan.

Menurut beliau, persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada Kuala Lumpur sudah benar-benar bersedia dari segi keutamaan asas sebelum membawa identiti baharu sebagai kota hiburan.

“Adakah keutamaan kita sekarang untuk membina kota hiburan, atau memastikan Kuala Lumpur terlebih dahulu menjadi sebuah bandar yang lebih selamat, bersih dan selesa didiami?” katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah bandar raya dunia bukan hanya diukur melalui kemeriahan acara hiburan, tetapi melalui kemampuan menyediakan persekitaran yang selamat dan berkualiti untuk rakyat.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada kewujudan sebuah kota hiburan mampu mengurangkan isu sosial yang sering dikaitkan dengan bandar besar.

“Adakah dengan wujudnya kota hiburan di Kuala Lumpur, masalah sosial akan berkurangan? Adakah jenayah akan berkurangan?” soalnya.

Datuk Muhamad turut membangkitkan persoalan daya saing sekiranya Kuala Lumpur mahu bersaing sebagai pusat hiburan serantau.

“Mampukah Kota Hiburan Kuala Lumpur menjadi lebih hebat daripada pusat hiburan dunia seperti New York?” katanya.

Menurut beliau, industri hiburan sememangnya boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi bandar, namun ia perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan identiti budaya Malaysia, nilai keluarga serta kesejahteraan sosial masyarakat.

Beliau berkata, pembangunan bandar raya tidak seharusnya mengejar kemajuan yang bersifat sementara sehingga mengabaikan asas kehidupan masyarakat.

Katanya, Kuala Lumpur perlu dibangunkan sebagai bandar raya yang bukan sahaja menarik pelabur dan pelancong, tetapi juga memberikan rasa selamat dan selesa kepada rakyat.

RESET KL menegaskan bahawa masa depan Kuala Lumpur perlu dibentuk dengan visi yang lebih menyeluruh — bukan sekadar menjadi kota yang bercahaya pada waktu malam, tetapi sebuah bandar raya yang mempunyai nilai dan kualiti hidup tinggi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share