
KUALA LUMPUR, 18 MEI 25 – Menyekat kebebasan ahli akar umbi menyuarakan pandangan mereka dikhuatiri menjejaskan masa depan parti yang lahir daripada keterlibatan aktif akar umbi dalam proses membuat keputusan, kata penganalisis politik.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali, berkata, suara akar umbi merupakan asas kepada kejayaan sesebuah parti atau gabungan politik, khususnya menjelang pilihan raya.
“Bila tibanya PRU mereka (akar umbi) tidak bersungguh, (sekiranya suara mereka disekat) sebab yang gerakkan jentera adalah akar umbi.
“Mereka yang akan bekerja menangkan parti. Jadi budaya untuk tidak beri ruang akar umbi bersuara tak harus wujud dalam negara demokrasi. Suara mereka perlu diambil kira.
“Jika tidak, parti akan lemah, kerana kekuatan parti datang dari akar umbi, jentera yang dekat dengan rakyat adalah akar umbi,” katanya, kepada politiko.my.
Mazlan berkata, kepimpinan parti politik perlu membuka ruang secukupnya kepada akar umbi untuk menyuarakan pandangan dan pendapat, bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan sesebuah parti dalam sistem demokrasi.
“Berjaya atau tidak parti atau gabungan politik bermula dari bawah. Kalau dari bawah tiada sokongan penuh, mereka dihalang suarakan pandangan, akan ada sabotaj bila PRU. Mereka mungkin memboikot dan sokong parti lawan,” katanya.
Jelas Mazlan, kepimpinan tertinggi parti perlu sedar jentera pilihan raya digerakkan oleh akar umbi yang dekat dengan rakyat.
“Jika mereka tidak diberikan ruang dan dihargai, semangat perjuangan akan luntur dan membawa kesan negatif terhadap prestasi parti.
“Apa guna jika peringkat atasan kekal, tapi kepimpinan akar umbi tiada rasa bangga dengan kepimpinan parti dan tiada ruang buat perubahan. Mereka tidak akan ada semangat perjuangan,” tambah beliau.
Katanya lagi, budaya menyekat suara akar umbi tidak seharusnya wujud dalam sebuah negara demokrasi yang matang.
Kenyataan Mazlan itu turut memberi isyarat kepada mana-mana parti politik agar tidak terlalu berpusat kepada elit semata-mata, sebaliknya memperkukuh hubungan dengan penyokong di peringkat akar umbi demi kelangsungan perjuangan politik jangka panjang. @politiko.my