
KUALA LUMPUR | 10 Mei 26 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla mendakwa krisis terbesar politik Malaysia menjelang PRU16 berpunca daripada ketidakikhlasan pemimpin politik sendiri dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Dalam wawancara bersama Politiko, beliau berkata kebanyakan ahli politik hari ini lebih cenderung mengangkat isu yang memberi manfaat politik kepada kelompok masing-masing berbanding menyelesaikan masalah asas rakyat.
Menurut Haniff, keadaan itu dapat dilihat apabila pelbagai isu berkaitan kaum dan identiti diberikan perhatian besar, sedangkan isu melibatkan pesawah dan keterjaminan makanan negara terus dipinggirkan.
“Masalah yang kita hadapi sekarang ni, pra-PRU16 dan dalam bidang politik ni adalah ketidakikhlasan pemimpin,” katanya.
Beliau berkata, isu melibatkan penanam padi dan pesawah sepatutnya menjadi agenda utama kerana ia melibatkan makanan ruji rakyat Malaysia.
“Isu menanam padi, masalah pesawah-pesawah telah pun tertampil dengan segala bentuk masalah dari sudut air, dari sudut subsidi dan dari sudut bantuan kerajaan,” katanya.
Haniff turut mempersoalkan mengapa parti-parti politik tidak memberikan perhatian serius terhadap isu tersebut jika benar perjuangan mereka berasaskan kepentingan rakyat.
“Bukankah memakan beras ataupun penanaman padi di Malaysia perlu diketengahkan?” katanya.
Beliau mendakwa kebanyakan ahli politik hanya memperjuangkan isu yang menguntungkan survival politik masing-masing.
“Semua ahli politik tanpa mengira parti, dia bukan perjuangkan benda yang hak. Dia perjuangkan perkara yang penting untuk diri dia atau masyarakat dia demi untuk menentukan bahawa mudah untuk dia dapat undi,” katanya.
Dalam masa sama, Haniff turut mengkritik parti-parti Melayu yang menurutnya gagal mengangkat isu masyarakat Melayu secara lebih sistematik dan praktikal.
“Kenapa tak bangkitkan masalah pesawah sahabat-sahabat parti Bersatu, parti UMNO? Soalnya.
Beliau berkata, budaya politik sedemikian menyebabkan rakyat terus terperangkap dalam kitaran politik lama tanpa perubahan kepimpinan yang sebenar.
“Politik Malaysia dah teruk sangat, dah hina sangat,” katanya.
Awal minggu lalu, sekumpulan pesawah memutuskan untuk menangguhkan penanaman padi bagi musim 1/2026. Presiden Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abd. Rashid Yob dalam ucapannya menjelaskan bahawa angka subsidi yang sering diumumkan tidak mencerminkan apa yang benar-benar diterima di lapangan. Dalam keadaan kos yang terus meningkat, pesawah kini melihat usaha mereka semakin tidak berbaloi.
Sementara itu, pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng dilaporkan mempertahankan penganjuran pesta Rain Rave dan mendakwa ia telah menjana pendapatn sebanyak RM 200 juta. Kenyataan tersebut sekaligus memperlihatkan kepimpinan DAP sentiasa memperjuangkan kepentingan pihak mereka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.