Perjanjian Perdagangan Tak Harus Jejaskan Petani Dan Kedaulatan Makanan – Bah.1

Oleh : Nurfitri Amir Muhammad

Perjanjian Perdagangan Seharusnya Tidak Menjejaskan Hak Petani dan Kedaulatan Makanan

Malaysia terlibat dalam pelbagai perbincangan perjanjian perdagangan dengan negara-negara maju seperti Kesatuan Eropah dan juga dengan Amerika Syarikat.

Tahukah anda? Pada 11 April 2025, kita telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), yang terdiri daripada Iceland, Liechtenstein, Norway, dan Switzerland.

Namun, rakyat Malaysia masih tidak tahu menahu berkenaan hal ini dan tiada penjelasan rasmi yang dikeluarkan. Kepentingan nasional apakah yang sedang dirundingkan secara tertutup dalam EFTA?

Tuntutan yang sering diulang-ulang dalam majoriti rundingan perdagangan dengan negara maju ialah agar Malaysia menyertai perjanjian yang kurang dikenali tetapi sangat kontroversi iaitu Akta International Union for the Protection of New Plant Varieties 1991 — atau lebih dikenali sebagai Konvensyen UPOV 1991.

Kerangka undang-undang ini telah direka di Eropah demi kepentingan pembiakbakaan tumbuhan komersial dan pertanian berskala perindustrian.

UPOV 1991 menawarkan perlindungan harta intelek yang luas kepada pembiak baka, iaitu monopoli ke atas jenis varieti tumbuhan baru yang memenuhi kriteria tertentu selama sekurang-kurangnya 20 tahun.

UPOV 1991 adalah sebuah undang-undang Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (PVP) yang bertindak seolah-olah seperti paten terhadap tumbuhan.

Ia sangat ketat dan sangat memihak kepada pembiak baka komersial, dengan mengorbankan hak petani, kepentingan awam, serta ruang dasar untuk melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan nasional.

UPOV 1991 tidak membenarkan petani untuk bebas menyimpan, berkongsi dan menjual benih tanaman yang diberikan hak pembiak baka, yang mereka tuai daripada ladang mereka sendiri.

Malaysia mahupun negara membangun lain tidak pernah dirujuk dalam merangka akta UPOV 1991. Oleh itu, ia tidak mencerminkan realiti pertanian negara membangun.

Sejak Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) wujud pada tahun 1995, negara perindustrian telah menggunakan perjanjian perdagangan untuk mendesak negara membangun mengguna pakai akta UPOV 1991.

Namun begitu, peraturan WTO tidak mewajibkan ahlinya menyertai UPOV. Negara-negara anggota WTO bebas membangunkan sistem PVP mereka sendiri yang sesuai dengan kepentingan nasional mereka.

Dalam hal ini, Malaysia telah memilih untuk menggubal Akta Perlindungan Jenis Tumbuhan Baru 2004 (PNVP 2004). Sebuah undang-undang tersendiri yang menyeimbangkan kepentingan petani, penyelidik, institusi awam, pembiak baka dan keperluan nasional.

PNVP 2004 adalah selari dengan deklarasi-deklarasi dan perjanjian-perjanjian yang disertai Malaysia di peringkat antarabangsa antaranya, Perjanjian Antarabangsa mengenai Sumber Genetik Tumbuhan untuk Makanan dan Pertanian (ITPGRFA), Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Protokol Nagoya.

Yang penting, undang-undang kita yang sedia ada ini mengiktiraf peranan petani kecil dalam pembiakbakaan tumbuhan, termasuk hak mereka untuk menyimpan, menggunakan, berkongsi dan menjual benih yang diperolehi dari tuaian ladang mereka sendiri.

Akta ini juga merangkumi perlindungan terhadap bio-piracy dan memastikan penggunaan sumber genetik tempatan dalam pembiakbakaan tumbuhan melibatkan persetujuan komuniti tempatan dan perkongsian faedah secara adil (ABS).

Selanjutnya, ia memastikan pembiak baka tidak hanya meraih keuntungan tetapi memenuhi tanggungjawab awam seperti menyediakan benih berkualiti dalam kuantiti yang munasabah dan pada harga yang adil.

Akta ini secara jelas mengiktiraf hak kerajaan untuk menamatkan hak monopoli demi memenuhi keperluan komuniti petani dan mengekang import yang berlebihan.

Berbeza dari UPOV, sistem Malaysia adalah berkesan untuk negara membangun. Ia berjaya menarik pendaftaran dari pembiak baka tempatan dan antarabangsa.

Dari perspektif jumlah pendaftaran, ia berprestasi lebih baik daripada banyak negara membangun lain yang melaksanakan UPOV 1991.

Nurfitri Amir Muhammad – Koordinator, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Surat Dari Ampang Buat Ahli BERSATU Malaysia

Apa yang dialami di Ampang hari ini, kata mereka, kini mula dirasai di seluruh negara. Sejarah ini jarang diketahui orang luar, namun bagi ahli BERSATU, ia menjadi peringatan bahawa parti akan terus rapuh selagi politik kartel dibiarkan menguasai kepimpinan.
Read More
Total
0
Share