
KUALA LUMPUR, 9 JUN 25 – Sebuah jawatankuasa khas rentas parti perlu ditubuhkan di Parlimen bagi menilai semula kuasa pemantauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan tindakannya ibarat ‘abang besar’ digital.
Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, arahan kerajaan supaya syarikat telekomunikasi menyerahkan butiran data panggilan telefon dan penggunaan internet rakyat berbentuk pengumpulan data secara senyap tanpa memberitahu rakyat bahawa mereka sedang dipantau.
“Pada permukaan, arahan ini kelihatan seperti satu pendekatan moden tetapi sebenarnya ini adalah pintu belakang kepada pencerobohan privasi berskala besar yang sedang dinormalisasikan oleh kerajaan yang mahu menjadi ‘Abang besar’ kepada rakyat.
“Saya menggesa kerajaan menghentikan pengumpulan data oleh SKMM serta-merta,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu lagi.
Hakikatnya, arahan itu katanya membuka pintu kepada pelanggaran hak privasi rakyat dan risiko pelbagai manipulasi data oleh mereka yang berkuasa.
Ini kerana data yang dikumpulkan masih boleh digabungkan dengan sumber data lain untuk menghasilkan profil individu dengan tujuan yang hanya diketahui oleh mereka yang memegang kuasa.
Jelasnya, sikap berat sebelah yang ditunjukkan oleh SKMM sebelum ini menunjukkan jawatankuasa bebas rentas parti perlu ditubuhkan di parlimen untuk memantau dan menilai semula kuasa pengawasan SKMM.
“Walaupun kita mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi, penguatkuasaannya masih lemah dan kerajaan juga tidak tertakluk kepada Akta ini.
“Tanpa mekanisme pengawasan bebas dan berkredibiliti, tidak ada jaminan bahawa data yang dikumpulkan tidak akan disalah guna untuk tujuan pemantauan politik, penyekatan maklumat, atau pelanggaran hak asasi,” tambah Wan Saiful. @politiko.my