
KUALA LUMPUR, 13 Jun 25 – Cadangan penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN) yang diutarakan oleh pimpinan PAS baru-baru ini mengesahkan bahawa Dato Seri Hamzah Zaiunddin dinamakan untuk mengetuai operasi politik bagi PN menerusi jawatankuasa eksekutif yang merangkumi parti komponen PN iaitu Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.
Memetik laporan malaysiakini, sumber menyatakan PAS mencadangan penubuhan satu jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan ditubuhkan manakala presiden keempat-empat parti komponen–PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP)–terus memainkan peranan dalam Majlis Tertinggi sedia ada.
Menurutnya, perkara itu diusulkan bagi menyediakan Hamzah menerajui tampuk kepimpinan sekiranya berlaku pertukaran rejim di peringkat pusat dalam pilihan raya umum akan datang.
“Struktur lain tidak berubah, hanya sebuah jawatankuasa baru dibentuk, macam tubuh biro,” kata sumber tersebut.
Seorang pemimpin Bersatu yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu Malaysiakini bahawa PAS memang tidak berminat merebut jawatan tertinggi dalam negara.
“Mereka percaya dalam gerakan Islam di seluruh dunia, apabila kepimpinan utamanya diterajui oleh Islamis, musuh akan datang menyerang daripada segenap sudut,” dakwanya.
Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat 10 kepimpinan kanan PN–lima dari PAS dan lima dari Bersatu–pada 18 Februari yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur, dakwa sumber.
Selain Hadi, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man turut hadir manakala Bersatu pula diketuai oleh Naib Presiden Radzi Jidin, ditemani pemimpin lain seperti Wan Saiful Wan Jan.
Bagaimanapun, difahamkan idea itu masih tergantung susulan dakwaan penentangan daripada kem setiausaha agung Bersatu Azmin Ali.
Mereka dikatakan mahukan penubuhan Majlis Setiausaha PN agar ia boleh diketuai oleh Azmin sendiri.
Pada April lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim, memberitahu bahawa PN dijangka melaksanakan rombakan struktur kepimpinan PN.
Perkara itu dimaklumkan selepas timbul drama dalam PN apabila Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dengan melepaskan jawatan bendahari agung PN.
Kejutan itu dibuat sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan Azmin dilantik menjadi setiausaha agung, mengetepikan cadangan Pemuda PAS yang mahu ia diisi setiausaha agung mereka Takiyuddin Hassan. @sumber