
KUALA LUMPUR | 22 Apr 26 — Keputusan Undang Yang Empat untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilihat mempunyai asas yang sah dari sudut adat, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi tradisional dalam krisis yang sedang memuncak.
Tan Sri Rais Yatim menegaskan bahawa dalam kerangka Adat Perpatih, Undang Yang Empat sememangnya mempunyai kuasa untuk melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar. Menurut beliau, kuasa tersebut bukan simbolik, sebaliknya termaktub dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan sejak sekian lama.
“Undang Yang Empat mempunyai bidang kuasa dalam soal ini.
“Yang Dipertuan Besar tidak oleh wujud tanpa adanya Undang Yang Empat, sekiranya mereka tidak lagi memberi sokongan kepada Yang Dipertuan Besar atas mana-mana kesalahan, atau hal-hal yang mencuit, merosakan nama baik kesempurnaan tugas dan adat yang dilakukan. Maka Yang Dipertuan Besar boleh diturun takhta oleh Undang Yang Empat (dengan dua syarat tersebut),” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.
Perkembangan ini sekali gus menguatkan hujah bahawa keputusan penyingkiran tersebut tidak boleh ditolak secara mudah, meskipun wujud pertikaian daripada pihak lain termasuk kerajaan negeri.
Dalam masa sama, Rais mengingatkan bahawa sebarang cabaran terhadap keputusan undang perlu dinilai dengan berhati-hati agar tidak mencetuskan krisis lebih besar antara adat dan struktur pentadbiran moden.
Beliau turut membayangkan bahawa jika pertikaian berlarutan, isu ini mungkin dibawa ke mahkamah — namun langkah itu berisiko membuka ruang kepada campur tangan sistem perundangan sivil dalam urusan adat yang selama ini ditentukan secara dalaman.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mengamalkan sistem unik Adat Perpatih di mana Undang Yang Empat memainkan peranan utama dalam menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar — termasuk dalam situasi luar biasa seperti penyingkiran. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.