Wan Saiful Mohon Kerajaan Noktahkan Isu Ladang Babi Di Tasek Gelugor

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan Persekutuan segera menyelesaikan isu membabitkan ladang penternakan babi di kawasannya itu yang mengganggu kesejahteraan rakyat sejak sekian lama.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menegaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) nampaknya gagal menangani isu tersebut sekaligus memerlukan campur tangan Persekutuan bagi menoktahkan isu itu.

“Saya dah berkali-kali bawa ke Dewan Rakyat isu pencemaran bau dan pencemaran air di kawasan sekitar ladang-ladang babi Kampung Selamat. Isu ini dah terlalu lama, tapi masih belum selesai.

“Saya lihat kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan langsung tak serius dalam menangani masalah ini. Padahal ia perkara serius yang amat mengganggu penduduk di kawasan sekitar,” kata Wan Saiful dalam kenyataan.

Di kawasan Kampung Selamat terdapat sebanyak 63 ladang yang menempatkan kira-kira 120,000 ekor babi.

“Kalau pergi kedai-kedai makan, kadang-kadang sampai tak lalu makan disebabkan bau. Kalau penduduk buat kenduri, sudah pasti bau busuk yang kuat amat mengganggu.

“Itu belum lagi kita bercakap mengenai pencemaran air Sungai Kereh yang memberi kesan kepada hidupan sungai dan pertanian,” kata Wan Saiful.

Isu itu juga katanya sudah dibangkitkan ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Dalam perbahasan RMK13 baru-baru ini, saya angkat sekali lagi masalah ini dan saya gesa supaya kerajaan segera menyelesaikannya.”

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab pada Julai dilapor berkata, tiga ladang di kawasan terbabit disahkan positif penyakit demam babi Afrika (ASF) berdasarkan ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Walaupun penyakit ASF tidak berjangkit kepada manusia, ia memberi kesan besar kepada industri penternakan babi, khususnya dari aspek sekatan pergerakan haiwan dan kerugian ekonomi kepada penternak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share