Tanding 56 Kerusi, BN Pusat Hormati Ketegasan Johor Hadapi PRN

KUALA LUMPUR | 19 Mei 26  – Barisan Nasional (BN) Pusat menegaskan pendirian menghormati keputusan serta hala tuju yang disuarakan oleh Barisan Nasional Johor berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, pendirian BN Johor itu dibuat selaras dengan pandangan semua pihak dalam parti-parti komponen BN negeri berkenaan.

Menurut beliau, BN Pusat memahami sentimen dan pertimbangan politik di peringkat negeri, khususnya melibatkan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Barisan Nasional Malaysia menghormati pendirian yang disuarakan oleh Barisan Nasional Negeri Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya dalam kenyataan media pada 19 Mei 2026.

Kenyataan itu dilihat mengangkat pendirian tegas BN Johor yang sebelum ini mahu gabungan berkenaan memberi fokus kepada pengukuhan kekuatan sendiri menjelang PRN.

Bagaimanapun, Zambry menjelaskan bahawa persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan demi mengelakkan negara terus terperangkap dalam ketidakstabilan politik.

Katanya, persefahaman tersebut telah dipersetujui sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

“Justeru tidak timbul persoalan Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa BN akan terus memainkan peranan dalam memastikan kestabilan kerajaan serta menjaga kesejahteraan rakyat.

Kenyataan tersebut dipercayai dibuat bagi menjawab polemik susulan pendirian BN Johor yang mencetuskan pelbagai tafsiran mengenai hubungan gabungan itu dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan. 

Kenyataan tersebut muncul selepas Pakatan Harapan (PH) Johor berazam mahu ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.

Dalam Konvensyan PH baru-baru ini, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, PH tidak akan sesekali goyah sebelum bertanding walaupun BN Johor telah mengumumkan bertanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share