“Laluan Khas UEC” Ke IPTA: Langkah Yang Akan Mengubah Wajah Pendidikan Negara?

Politik Malaysia ditandai oleh satu isu yang tidak pernah benar-benar mati. Ia cuma tenggelam seketika sebelum muncul semula dengan wajah baharu.  Isu UEC (Unified Examination Certificate) adalah salah satunya. Hari ini, polemik itu kembali panas apabila kerajaan terus membuka pelbagai “laluan khas” kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) memasuki institusi pengajian tinggi tertentu.

Persoalannya mudah tetapi tajam menghunjam: adakah ini sekadar fleksibiliti pendidikan? ATAU langkah perlahan-lahan mengiktiraf sistem yang sejak awal berada di luar arus pendidikan kebangsaan?

Bak kata orang tua-tua, “ibarat Belanda diberikan tanah.” Diberikan sedikit, akhirnya punah dijajah satu wilayah.  Justeru, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Tetapi kalau rebung dibesarkan dalam kebun yang berbeza arah, jangan hairan jika buluhnya tumbuh tidak lagi menghadap kiblat yang sama.

UEC: Silibus Persendirian Model Taiwan                          

UEC diwujudkan sekitar tahun 1975 oleh Dong Zong untuk sekolah menengah persendirian Cina. Sistem ini menggunakan silibus sendiri yang banyak dipengaruhi model Taiwan dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sebab itulah kerajaan Persekutuan sejak sekian lama tidak memberikan pengiktirafan rasmi untuk sektor awam dan majoriti laluan IPTA.

Namun politik Malaysia sering pelik. Apa yang “tidak diiktiraf”, perlahan-lahan diberi ruang masuk melalui pintu belakang. Sedikit demi sedikit. Setapak demi setapak. Hari ini program tertentu, esok mungkin fakulti tertentu, lusa siapa tahu?

Inilah yang menimbulkan keresahan banyak pihak — khususnya pejuang bahasa, kelompok nasionalis pendidikan dan bekas tokoh akademik Melayu.

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) jelas meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Semangat asal dasar ini lahir daripada Laporan Razak 1956 dan Rahman Talib 1960 yang mahu pendidikan menjadi alat perpaduan nasional.

Maknanya mudah: satu negara, satu kerangka nasional, satu asas kenegaraan.

Tetapi hari ini Malaysia semakin bergerak ke arah pendidikan berlapis-lapis:

i) sekolah kebangsaan,

ii) sekolah vernakular,

iii) sekolah antarabangsa,

iv) sekolah persendirian Cina,

v) sistem asing,

vi) silibus luar negara.

Dilema Klasik: Rojak Pendidikan

Akhirnya negara hadapi dilema kelihatan seperti “rojak pendidikan” yang semakin sukar mencari titik persamaan identiti nasional.

Lebih menarik, isu UEC ini bukan lagi sekadar isu pendidikan. Ia sudah menjadi “mata wang politik”.

DAP sejak dahulu konsisten menjanjikan pengiktirafan UEC dalam manifesto pilihan raya. Malah ketika era Pakatan Harapan 2018, isu ini menjadi antara tuntutan besar penyokong mereka. Tetapi setelah masuk kerajaan, pengiktirafan penuh masih gagal dilaksanakan.

Mengapa?

Kerana realiti Malaysia tidak semudah slogan pilihan raya. Politik kuasa boleh berkompromi, tetapi asas Perlembagaan dan sensitiviti nasional tidak boleh diubah sesuka hati.

Pendidikan dan Tekanan Politik

Namun tekanan politik tetap berjalan. Sedikit demi sedikit ruang dibuka. Bak kata bidalan Melayu, “Air menitik lama-lama batu berlubang juga.”

Di media sosial, rakyat mula melihat perkara ini sebagai sebahagian daripada tawar-menawar politik dalam Kerajaan Perpaduan. Ada yang menyindir, “UEC belum diiktiraf secara rasmi, tapi layanan sudah macam diiktiraf.”

Lebih sinis lagi apabila ada pihak melihat kerajaan terlalu lunak kerana takut kehilangan sokongan politik tertentu. Maka lahirlah persepsi bahawa dasar pendidikan negara kini semakin ditentukan oleh tekanan politik, bukan lagi falsafah negara bangsa.

Ironinya, pelajar dalam sistem kebangsaan sendiri masih bergelut dengan persaingan IPTA, peluang pekerjaan, kos pendidikan dan ketidakseimbangan bandar-luar bandar.

Hala Tuju Pendidikan Malaysia?

Tetapi pada masa sama, laluan untuk sistem luar arus nasional terus dibuka perlahan-lahan. Maka tidak hairan jika ramai bertanya: apakah sebenarnya hala tuju pendidikan Malaysia hari ini?

Golongan yang membantah UEC berhujah bahawa sistem ini melahirkan generasi yang kurang terdedah kepada naratif nasional Malaysia. Mereka mendakwa unsur patriotisme, sejarah kebangsaan dan integrasi nasional tidak dibentuk secara menyeluruh.

Mungkin ada yang tidak setuju. Tetapi persoalan ini tetap relevan: bolehkah sebuah negara membina identiti bersama jika generasinya membesar dalam sistem yang semakin terpisah?

Lihat Jepun. Lihat Korea Selatan. Lihat Perancis. Negara-negara ini sangat keras mempertahankan kerangka pendidikan nasional mereka kerana mereka faham: pendidikan bukan sekadar menghasilkan pekerja, tetapi membina jiwa bangsa.

Identiti Perlu Dipertahankan

Malaysia pula kadang-kadang nampak seperti negara yang terlalu takut untuk mempertahankan identitinya sendiri. Semua mahu dijaga, semua mahu dipuaskan, akhirnya dasar menjadi longgar dan kabur.  Bak kata peribahasa, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”

Namun begitu, isu ini tidak boleh ditangani secara ekstrem atau emosional. Malaysia negara majmuk. Pendekatan kasar hanya akan memburukkan hubungan kaum dan membuka ruang manipulasi politik lebih besar.

Sebab itu penyelesaian perlu matang dan strategik.

Pertama, kerajaan wajib memperkukuh sekolah kebangsaan sehingga benar-benar menjadi pilihan utama semua kaum. Selagi sekolah kebangsaan gagal menjadi simbol kecemerlangan nasional, masyarakat akan terus mencari alternatif.

Kedua, jika ada bentuk pengiktirafan terhad terhadap UEC, maka syarat integrasi nasional mesti diperketat: Bahasa Melayu wajib cemerlang, Sejarah Malaysia wajib, kefahaman Perlembagaan, Rukun Negara, dan pendidikan kenegaraan mesti diperkukuh.

Ketiga, kerajaan perlu tegas bahawa bantuan awam mesti berpaksikan sistem pendidikan kebangsaan. Jika memilih berada di luar sistem nasional, maka institusi itu juga perlu memahami had tanggungjawab kerajaan.

Keempat, hentikan budaya menjadikan pendidikan sebagai modal politik. Masa depan negara tidak boleh diperdagangkan demi survival gabungan pemerintah.

“RESET”: Sistem Pendidikan Nasional

Di sinilah muncul idea “RESET Pendidikan Nasional” yang mula dibicarakan sesetengah kelompok politik dan intelektual: kembalikan pendidikan kepada asas negara bangsa, perkuat Bahasa Melayu, pertahan identiti nasional, tetapi dalam masa sama hormati kepelbagaian budaya secara matang.

Kerana akhirnya, isu sebenar bukan sekadar UEC.

Isu sebenarnya ialah: Malaysia mahu melahirkan rakyat yang hanya berkongsi passport atau rakyat yang benar-benar berkongsi jiwa kebangsaan?

Kalau sistem pendidikan terus bergerak dalam lorong berasingan, jangan terkejut jika satu hari nanti negara ini berjaya melahirkan ramai graduan pintar.  Tetapi gagal membina satu bangsa yang benar-benar saling memahami antara satu sama lain. Akan berlaku alienasi sesama sendiri yang mengakibatkan terbinanya tembuk perkauman yang semakin tebal dan tinggi.

Dan ketika itu berlaku, mungkin kita baru sedar; keretakan negara selalunya tidak bermula di Parlimen – tetapi bermula di bilik darjah, apabila terpisahnya pelbagai sekolah yang berbeza arah.

Oleh: Ramlee Wahab – Sri Gading

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share