
KUALA LUMPUR, 25 Sep 25 — Konsep Payung Besar Melayu yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk memberi kebaikan kepada semua rakyat, kata pengarang veteran Shamsul Akmar.
Pengarang akhbar The Malaysia Reserve itu berkata, sehubungan itu, kumpulan etnik lain tidak seharusnya sangsi dengan agenda berkenaan kerana melalui penyatuan itu negara akan menjadi teratur.
“Tiada sebab bukan Melayu berada sangsi (cadangan payung besar Melayu) kerana dari dulu bila kumpulan Melayu kuat dan aman seluruh negara aman.
“Konsep payung besar Melayu ini perlu diperkukuhkan dan selepas itu Cina dan India kukuhkan payung mereka. Kita balik kepada konsep Perikatan dulu.
“Atas dasar itu negara ini mahu, bukan dasar pelbagai kaum DAP dan PKR,” katanya, dalam wawancara bersama pilitiko.my.
Jelasnya, konsep kepelbagaian kaum di bawah Pakatan Harapan (PH) itu juga menunjukkan ketidakadilan buat kaum India apabila tiada menteri daripada komuniti itu dalam kerajaan.
“Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana menteri kali kedua pada 2018, ada empat wakil India jadi menteri.
“Kerajaan sekarang yang kononnya kerajaan pelbagai kaum tetapi tiada orang India jadi menteri,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh keadaan berbeza ketika era Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mana MIC adalah rakan sekutunya.
“Dulu MIC rakan sekutu dalam perikatan ini, BN, tapi setiap keputusan itu ada konsensus, orang India bila setuju dengan sesuatu keputusan bermakna mereka dah puas hati.
“Dengan hak dan bahagian dia dapat, walaupun tidak semua gembira tapi tak semua pulang dengan tangan kosong,” tambahnya.
Tambahnya, payung Melayu itu akan bertindak dan berfungsi seperti parti Perikatan di awal kemerdekaan yang mana orang Melayu akan mengukuhkan kedudukan mereka terlebih dulu tanpa rasa tergugat.
“Masa itu perjuangkan semua hak rakyat Malaya, konsep payung Melayu ketika itu tidak ada bezanya”. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.