PEJUANG Beri Amaran, Pindaan Akta MARA Boleh Gugat Agenda Bumiputera

JOHOR BAHRU | 6 Mei 26 – Cadangan pindaan Akta MARA 1966 kini berdepan persoalan besar apabila wujud kebimbangan ia boleh membuka ruang kepada penghakisan peranan sosial Majlis Amanah Rakyat demi agenda korporat.

Ketua Penerangan Pejuang Negeri Johor, Suraya Sulaiman memberi amaran bahawa sebarang usaha “memodenkan” MARA tidak boleh dijadikan alasan untuk mengalih fokus institusi itu daripada mandat asalnya membela Bumiputera.

Menurut Suraya, dalam keadaan MARA mengurus aset bernilai berbilion ringgit dan rangkaian institusi pendidikan yang luas, tekanan untuk mengutamakan keuntungan berpotensi mengubah hala tuju agensi tersebut.

“Jika tidak dikawal, pindaan ini berisiko menukar MARA daripada benteng sosial kepada entiti berorientasikan keuntungan,” Katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa agenda Bumiputera mesti dilindungi secara jelas dalam undang-undang dan tidak boleh terdedah kepada tafsiran yang membuka ruang komersialisasi melampau.

Dalam masa sama, Suraya tidak menolak keperluan pembaharuan tadbir urus, namun mempersoalkan sama ada pendekatan semasa benar-benar menyasarkan ketelusan – atau sekadar membuka ruang baharu kepada pengurusan berorientasikan korporat.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk keperluan pengasingan fungsi pelaburan dan audit serta pengukuhan mekanisme pemantauan bagi menutup ruang ketirisan yang sebelum ini sering menjadi isu.

Namun, beliau menegaskan bahawa pembaikan struktur tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan komitmen terhadap program biasiswa, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan.

“Pengukuhan korporat tidak boleh menjadi pintu belakang untuk melemahkan peranan sosial MARA,” tegasnya.

Pejuang Johor turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan yang dibuat secara tergesa-gesa atau tanpa libat urus menyeluruh hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

“MARA adalah amanah rakyat, bukan sekadar entiti pelaburan,” katanya.

Sehubungan itu, Suraya mendesak agar pindaan akta ini dibahaskan secara telus di Parlimen dengan penglibatan pelbagai pihak, bagi memastikan ia tidak tersasar daripada matlamat asal.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya draf pindaan Akta MARA 1966 disiapkan dalam tempoh tiga bulan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh tadbir urus Majlis Amanah Rakyat yang mengurus aset dan institusi pendidikan bernilai besar.

Kerajaan menyatakan pindaan tersebut bertujuan memperkukuh ketelusan, pengasingan fungsi audit dan pelaburan, serta memastikan agenda Bumiputera terus dilindungi melalui kerangka undang-undang yang lebih jelas.

Namun, perkembangan itu turut mencetuskan perdebatan apabila wujud kebimbangan bahawa penekanan terhadap kecekapan korporat boleh mengubah keseimbangan peranan sosial MARA sebagai institusi pembangunan Bumiputera. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share