
YAN | 6 Mei 26 – Pengumuman bantuan kepada pesawah terus menimbulkan tanda tanya di peringkat akar umbi apabila masih wujud kekeliruan asas tentang cara pelaksanaannya.
Seorang pesawah dari Yan, Kedah, Rosdi B. Yahaya (50) berkata perbualan dalam kalangan pesawah menimbulkan persepsi bahawa maklumat di lapangan tidak selari dengan apa yang diumumkan.
“Kami dengar daripada rakan-rakan pesawah lain, macam ‘order lain sampai lain’,” ujarnya kepada politiko.
Walaupun mengakui bantuan tersebut memberi sedikit kelegaan, Rosdi menegaskan ia bukan penyelesaian kepada tekanan kos yang semakin meningkat.
“Dia membantu, tapi bukan penyelesaian yang kita harapkan. Sekarang, kos semua naik, jentera, upah, input. RM200 itu tak selesaikan masalah.”
Menurutnya, isu lebih besar yang perlu diberi perhatian ialah struktur harga padi yang disifatkan sebagai punca utama beban pesawah.
“Kalau naikkan harga padi, itu isu pokok. Pesawah boleh berdikari. Tak perlu lagi subsidi kecil-kecil,” katanya.
Mengulas cadangan menaikkan harga lantai padi sehingga RM3000, beliau menyifatkannya sebagai wajar dipertimbangkan, meskipun mungkin perlu disesuaikan.
“RM3000 mungkin besar, tapi bukan mustahil. Kalau RM2000 pun dah cukup bantu pesawah bertahan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Rosdi turut membangkitkan isu bantuan terdahulu yang didakwa masih belum diterima sebahagian pesawah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pelaksanaan di lapangan.
“Yang RM50 sebelum ini pun ada yang tak dapat lagi. Jadi orang kampung jadi ragu-ragu,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian wang pendahuluan RM200 sehektar kepada pesawah melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi membantu kos awal pembajakan.
Namun di lapangan, persoalan utama masih berlegar, bukan sekadar bagaimana bantuan itu diagihkan, tetapi sejauh mana ia benar-benar mampu meredakan beban pesawah.
Beberapa hari lalu, kumpulan pesawah dalam satu perhimpunan mengumumkan untuk berhenti menanam padi bagi musim ini atas faktor tidak lagi mampu menanggung kos yang terlalu tinggi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.