
KUALA LUMPUR, 9 Okt 25 – Susulan termeterainya usaha damai antara pihak bertelagah, tiada keperluan untuk Malaysia menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke negara ini bagi menyatakan pendirian berhubung genosid di Palestin.
Peguam Rafique Rashid berkata, alasan demi alasan yang digunakan untuk menjemput Trump adalah cubaan normalisasi.
“Lagipun, bukankah pendirian Malaysia sentiasa jelas: Palestin berhak merdeka dan Israel tidak diperakui kewujudannya.
“Oleh itu, beranikah Perdana Menteri merangkap Pengerusi Asean Datuk Seri Anwar Ibrahim gulung balik tikar merah untuk sesi pujian berikutnya pula?,” katanya.
Rafique yang Ketua penerangan Pejuang itu berkata, sebagai negara berdaulat Malaysia mesti berani mempertahan hak negara lain yang ditindas.
“Memberi alasan demi alasan mengapa jemputan pada Trump mesti diteruskan adalah cubaan normalisasi pemikiran rakyat Malaysia.
“Kalau alasan utama adalah keperluan rundingan, maka terkini oleh kerana nampaknya telah ada usaha damai yang dipersetujui antara semua pihak, maka tiada lagi keperluan untuk menyatakan pendirian Malaysia,” kata Rafique lagi.
Malah, tegasnya, rundingan dengan Trump adalah berbeza ketika rundingan menuntut kemerdekaan negara zaman Tunku Abdul Rahman.
“Rundingan pada waktu itu adalah satu kewajipan. Itu cara kita capai kedaulatan. Bukan melalui senjata tetapi dengan langkah bijaksana meja bulat.Lagipun Tanah Melayu milik orangnya.
“Trump pula adalah ketua negara yang mana kerajaannya bersekongkol dengan zionis Israel,” tegas Rafique.
Terkini, Reuters melaporkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju untuk melaksanakan fasa pertama daripada pelan damai 20 fakta yang dikemukakan oleh bekas Presiden AS, Donald Trump, menurut kenyataan rasmi daripada pihak yang terlibat dalam rundingan di Mesir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini