Banjir Aplikasi Kerajaan: Transformasi Digital atau Pembaziran Sistemik? – Pemuda MCA

KUALA LUMPUR | 4 Mei 26 — Lambakan aplikasi digital kerajaan kini mencetuskan persoalan serius terhadap kecekapan dasar transformasi digital negara, dengan semakin ramai pihak melihatnya bukan sebagai kemajuan, tetapi petanda pembaziran sistemik menggunakan dana awam.

Isu ini dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, yang mempersoalkan arah tuju sebenar digitalisasi kerajaan apabila pelbagai aplikasi dilancarkan tanpa penyelarasan jelas.

Menurut beliau, kewujudan pelbagai platform seperti MyJPJ, MyTax, MyDigitalID, MyBayarPDRM dan lain-lain bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah menimbulkan persepsi bahawa kerajaan melaksanakan projek digital secara berasingan tanpa pelan induk yang kukuh.

“Ada aplikasi yang baru dilancarkan kurang setahun sudah digantikan dengan sistem baharu yang fungsinya hampir sama. Ada juga yang sekadar dinaik taraf untuk menambah ciri seperti chatbot AI tanpa penambahbaikan ketara,” katanya dalam satu rakaman video yang disiar dilaman facebook MCA.

Situasi ini menimbulkan persoalan lebih besar iaitu mengapa sejak awal tidak dibangunkan satu “super app” yang menyatukan semua perkhidmatan kerajaan, sekali gus menjimatkan kos dan memudahkan pengguna?

Pemerhati melihat pendekatan berpecah-pecah ini sebagai kegagalan tadbir urus digital, di mana setiap agensi membangunkan sistem sendiri tanpa integrasi menyeluruh. Akibatnya, rakyat terpaksa memuat turun pelbagai aplikasi berbeza untuk urusan yang sepatutnya boleh disatukan dalam satu platform.

Lebih membimbangkan, setiap pembangunan, naik taraf dan penyelenggaraan aplikasi ini melibatkan perbelanjaan besar wang awam. Namun, sehingga kini, tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai jumlah kos keseluruhan, keberkesanan pelaksanaan, serta pulangan kepada rakyat.

“Rakyat berhak tahu, berapa kos sebenar semua ini? Adakah ia dibuat berdasarkan penilaian kos dan manfaat, atau sekadar memenuhi agenda tertentu?” soal beliau lagi.

Dalam konteks ini, kritikan bukan lagi tertumpu kepada aspek teknologi semata-mata, tetapi menjurus kepada isu ketelusan dan keutamaan perbelanjaan kerajaan. Tanpa penjelasan menyeluruh, lambakan aplikasi ini berisiko dilihat sebagai projek berulang yang menguntungkan pihak tertentu, bukannya memperbaiki penyampaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, kerajaan digesa segera mendedahkan semua kos berkaitan pembangunan dan penyelenggaraan aplikasi digital serta menjelaskan hala tuju sebenar transformasi digital negara, sebelum isu ini berkembang menjadi krisis kepercayaan yang lebih besar. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share