
KUALA LUMPUR, 22 Okt 25 – Seorang ahli Parlimen Bersatu Datuk Khlir Mohd Nor, mendakwa perpecahan dalam Bersatu semakin melebar dengan terdapat ahli yang mempunyai kepentingan tertentu mempengaruhi keputusan Lembaga Disiplin parti itu.
Akhbar New Straits Times melaporkan, Khlir tidak menolak kemungkinan pemecatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan empat yang lain, serta penggantungan bekas Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyebabkan parti itu kini berpecah.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, keputusan terhadap lima individu itu dibuat akibat sikap mementingkan diri segelintir individu dengan tindakan disiplin tersebut dilakukan hasil hasutan pihak tertentu.
“Pemecatan Wan Saiful dan yang lain, serta penggantungan Wan Fayhsal, tidak sepatutnya berlaku, jika benar mereka melakukan kesilapan, sudah memadai sekiranya mereka dipanggil untuk memberi penjelasan atau diberikan amaran.
“(Tindakan disiplin itu) hanya menjatuhkan maruah parti di mata orang lain, khususnya rakan sekutu kita, PAS,” katanya, lapor akhbar berkenaan.
Tambah Khlir, mana-mana parti juga akan berdepan masalah jika pemimpinnya tidak bersih.
Lembaga Disiplin Bersatu pada 14 Okt lalu memecat keahlian Wan Saiful, bersama tiga lagi ketua bahagian iaitu; Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fadhli Ismail dan Mohd Isa Mohd Said daripada parti.
Sementara Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang, digantung keahliannya selama sepenggal. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.